SIBU, 31 OGOS 2023 (SNN): Loji Rawatan Air Bukit Lima, Sibu yang mula beroperasi pada tahun 1959 akan dinaiktaraf bagi menampung keperluan bekalan air di kawasan Sibu demikian jelas Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.
Beliau dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan ke loji rawatan berkenaan pada Rabu memberitahu, loji yang sudah beroperasi lebih 60 tahun itu sudah banyak kali dinaik taraf sehingga kini mencapai kapasiti 45 MLD.
“Bagi menampung peningkatan permintaan bekalan air dan sokongan dari Loji Rawatan Air Salim loji ini harus dinaik taraf sekali lagi yang mana satu lagi seksyen yang membekalkan 9 MLD air terawat tidak algi digunakan akan diperbaiki.
“Cadangan untuk membaik pulih seksyen itu kini dalam perbincangan dan akan menggunakan struktur loji yang sama tetapi menggunakan sistem teknologi tapisan terkini dengan memasang ‘membrance’ berbanding menggunakan tapisan lapisan pasir,” katanya.
Ujar Julaihi lagi, dengan penambahbaikan loji ini nanti yang akan berfungsi sebagai sokongan pembekalan air terawat maka ia mampu menampung jumlah permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan Sibu.
Terdahulu, Datuk Julaihi turut meninjau tapak projek pemasangan dan penyambungan paip agihan menuju ke projek bekalan air Kanowit fasa 2 sebelum bergerak ke Loji Rawatan Air Bukit Lima, Sibu.