LAMBIR, 29 MAC 2022 (SNN) : Loji rawatan air Lambir mampu membekalkan bekalan air bersih kepada pengguna terutama di kawasan bandaraya Miri dan kawasan Lambir, demikian menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi semasa mengadakan lawatan kerja ke loji berkenaan, semalam.
Tambah beliau, semasa mendengar sesi taklimat yang disampaikan oleh pihak pengurusan Lembaga Air Kuching Utara (LAKU) Laku Management Sdn Bhd yang diketuai oleh CEO Encik Daniel Punang beliau sedia maklum loji Lambir dengan kapasiti 214 MLD yang mendapat bekalan air mentah dari Sungai Liku yang terletak bersebelahan loji terbabit mampu membekalkan air yang cukup untuk kawasan bandar Miri.
“LAKU mengendalikan bekalan air untuk kawasan utara Sarawak khususnya Bahagian Bintulu, Miri dan Limbang yang merangkumi keseluruhan kapasiti 688 MLD namun 400 MLD sahaja yang digunakan setakat ini.
“Bahagian Bintulu menyumbang jumlah permintaan air paling banyak dan juga paling banyak menyumbang keuntungan kepada LAKU ekoran daripada kawasan itu terdapat banyak kilang,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke loji rawatan air Lambir pada Isnin.
Jelas beliau, jumlah permintaan penggunaan air dijangka akan bertambah terutama dari pengguna industri di kawasan Kidurong dan Taman Perindustrian Bintulu (SIP) apabila beberapa industri berat membuka kilang di Bintulu nanti.
Turut hadir sama ADUN Lambir; Dr Rippin Lamat, Setiausaha Tetap Kementerian; Dato Alice Jawan, Pengerusi LAKU; Dato Nelson Balan dan CEO LAKU; En Daniel Punang.