LAWAS, 25 SEPTEMBER 2022 (SNN): Seramai lebih kurang 1,000 orang belia Lawas berkampung di Kompleks Sukan Lawas bagi menyertai Karnival Belia BLX BEAT Lawas yang bermula pada 24 hingga 25 September.
Pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan antaranya pertandingan zumba, bola sepak, sepak takraw, pentaque, bola keranjang, badminton, pertandingan burung murai batu dan banyak lagi acara sukan.
Selain itu, acara pentas persembahan juga diadakan di samping gerai-gerai jualan anjuran Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Lawas dan gerai pendaftaran keahlian Parti PBB.
Upacara Majlis Penangguhan Karnival tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersempena Sambutan Hari Malaysia peringkat Daerah Lawas di Indoor Stadium, Lawas.
“Penganjuran karnival ini dianjurkan adalah sebagai pentas untuk belia Lawas melibatkan diri dalam aktiviti sihat setelah dua tahun tidak diadakan susulan pandemik Covid-19 tahun 2020 lalu.
“Acara ini juga bakal menjadi landasan untuk melatih belia dalam kepimpinan, pengurusan program dan kerjasama berpasukan seperti yang diimpikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” jelas beliau.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia; Dato Henry Sum Agong dan Timbalan Pengerusi Belia 1828 Sarawak merangkap Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga ADUN Tupong; Fazzrudin Abdul Rahman, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Exco Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Kr Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Exco Wanita Parti PBB; Josephine Dato Henry Sum, exco-exco Pergerakan Pemuda Parti PBB; Steve Lius dan Mohd Nazrul Hisham Awang Tengah.