SEBUYAU, 19 SEPTEMBER 2023 (SNN):
Lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke kawasan Sebuyau merupakan tanda sokongan kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan dan kebajikan masyarakat setempat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, beliau bukan sahaja turun padang bagi menyantuni penduduk di daerah ini, malah turut membawa berita baik mengenai pemberian beberapa geran yang akan menyokong pembangunan dan kemakmuran kawasan ini.
Julaihi yang juga ADUN Sebuyau itu menjelaskan, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu hadir bagi menyampaikan sendiri Geran Perlengkapan Kampung Ameniti Sosial bernilai RM1,580,000 daripada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) Berhad termasuk Geran Perlengkapan Kampung Premis Perniagaan berjumlah RM120,000 dan Geran Program Pembangunan Kelestarian dan Kemampanan Infrastruktur Pelancongan Desa berjumlah dan RM180,000.
“Turut diberikan adalah bantuan persekolahan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Sarawak sebanyak RM10,000 yang disalur menerusi pemberian wang tunai RM100 secara ‘one off’ kepada setiap seorang daripada 100 pelajar SK Haji Bujang Sebangan yang berasal dari keluarga golongan berpendapatan rendah (B40).
“Selain itu, MARA Negeri Sarawak telah menyediakan kemudahan pembiayaan perniagaan berjumlah RM458,000, Bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Baik Pulih Rumah dan Bakul Makanan berjumlah RM255,000 di samping ‘mock cheque’ kepada dua penerima Skim Mudah Jaya (SPiM) dan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) serta Surat Tawaran Pembiayaan Perniagaan MARA kepada seorang penerima Skim SPiKE berJumlah RM458,000.
“Geran RM10,000 daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak juga diberikan kepada 10 perserta Kursus Kemahiran Kits Quick Win bagi bidang variasi bun dan pastri,”katanya dalam ucapan aluannya pada Program Santuni Rakyat Bersama YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke Daerah Sebuyau di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Bujang Sebangan, pada Ahad.
Bukan itu sahaja, dalam program sama, Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid telah meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk pembinaan Giat Mara di Kawasan Sebuyau yang perlu disegerakan pada tahun ini.
Pada masa sama, FELCRA Berhad membantu untuk mewujudkan mesin padi bagi menghasilkan beras di kawasan Sebuyau yang mana pihak Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) dan pekebun-pekebun kecil juga dapat mengambil perhatian dan sama membantu.
Sehubungan itu, Datuk Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau berbesar hati menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih di atas kesudian Datuk Patinggi Dr. Ahmad Zahid untuk hadir ke program tersebut, walaupun memahami bahawa beliau mempunyai jadual yang padat, terutama dalam Sidang Dewan Rakyat yang baru bersidang di Parlimen.
Turut hadir di program berkenaan ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan; Datuk Rubiah Wang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Sarawak; Dr Hazland Abang Hipni, Ahli Parlimen Batang Lupar; Mohamad Shafizan Kepli, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Dan Wilayah; Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun serta Residen Bahagian Samarahan; Mohamad Irwan Bahari Bujang.-UKAS