KUCHING, 28 MAC 2023 (SNN): Daerah Lawas dipilih sebagai tuan rumah sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri Sarawak tahun ini yang akan diadakan pada 7 April ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, persiapan awal telah mula diatur bagi memastikan perjalanan majlis tersebut kelak berjalan dengan lancar.
“Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak akan diadakan di Masjid Darul Ma’amur Lawas dengan bertemakan ‘Sarawak Maju Makmur’ bermula pukul 5.30 petang,” katanya semasa sidang media Majlis Nuzul Al-Quran peringkat negeri Sarawak 2023 di Wisma Sumber Alam pada Isnin.
Beliau turut mengadakan sesi perjumpaan dengan semua jabatan dan agensi terlibat untuk mendengar laporan persiapan di peringkat jawatankuasa penganjur.
Antara acara-acara iringan yang bakal diadakan ialah Ceramah Ramadan, Bicara Ramadan, Pameran Al-Quran, Ihya Ramadan Perdana Borneo dan Bicara Ramadan ‘Masyarakat Madani’.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta Toh Puan Ragad Kurdi Taib dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang serta menteri-menteri kabinet kerajaan negeri dijangka hadir memeriahkan majlis itu.-UKAS.