KOTA SAMARAHAN, 06 JANUARI 2022 (SNN): Prihatin dengan keluhan rakyat Kota Samarahan yang terpaksa meredah kesesakan lalu lintas luar biasa pada waktu kemuncak akibat kerja-kerja pembaikan dan naiktaraf jalan raya Samarahan Expressway-Kuching satu laluan alternatif sementara mula dibuka bermula hari ini bagi mengurangkan berlakunya kesesakan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, hasil perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Ir Aidel Lariwoo mencadangkan satu laluan alternatif sementara dibuka di Bulatan TT3 yang menuju terus ke BDC.
Beliau dalam satu kenyataan memberitahu, usaha ini dilakukan bagi memecahkan kesesakan yang berlaku di bulatan Tabuan Tranquility disamping mengelakkan pertembungan kenderaan di kawasan SJK Chung Hua yang mana sesi persekolahan turut akan bermula.
Sementara itu, JKR dalam kenyataannya memberitahu bahawa laluan berkenaan hanya boleh digunakan untuk kenderaan ringan dan diminta untuk memandu dengan berhati-hati kerana melalui kawasan perumahan.
Rubiah berharap dengan langkah yang diambil ini mampu mengatasi kesesakan luar biasa yang sering dialami oleh pengguna sementara menunggu projek naiktaraf bulatan di sepanjang Jalan Kuching-Samarahan Expressway siap sepenuhnya.
Di samping itu, beliau turut berterima kasih kepada pihak berkuasa trafik yang turut membantu melancarkan aliran trafik di waktu kemuncak sepanjang projek ini berjalan.