MUKAH, 21 DISEMBER 2022 (SNN): Kursus kemahiran dan keusahawanan membaik pulih telefon bimbit yang dianjurkan di Daerah Daro bermula pada 20 hingga 22 Disember di Dewan Kemas Daro memberi peluang kerjaya dalam bidang elektronik kepada usahawan muda terutama belia.
Kordinator Program Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Matlamat Pembangunan Lestari Wilayah Sarawak) (APPGM-SDG) Prof Madya Dr Zaimuariffudin Shukri Nordin berkata, kursus untuk daerah ini berjaya mengumpulkan 25 peserta yang terdiri daripada belia.
“Kursus berkenaan dikendalikan oleh Qubiz Tech Sdn. Bhd. anjuran bersama (Kumpulan Parti Rentas Parlimen Malaysia-Matlamat Pembangunan Lestari di bawah Parlimen Malaysia) (APPGM-SDG) melalui Persatuan Promosi Matlamat Pembangunan Lestari dengan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dan disokong oleh Ahli Parlimen P207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
“Penganjuran kursus ini menggariskan objektif bagi melahirkan usahawan muda daripada kalangan masyarakat dan belia/beliawanis dalam bidang kemahiran membaik pulih dan menyelenggara telefon pintar serta alatan mikro elektronik lain,” katanya.
Selain itu, melalui kurusus ini juga mampu membantu mereka meningkatkan taraf hidup agar dapat memajukan ekonomi diri dan keluarga seiring dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan guna tenaga untuk membasmi kemiskinan.
“Tidak hanya itu, kursus ini turut menyediakan golongan belia dengan kemahiran dan ilmu perniagaan supaya dapat mencipta pekerjaan sendiri, malah mencegah mereka dari terjebak anasir-anasir negatif seperti dadah dan masalah sosial lain.
“Menyediakan belia/ beliawanis yang berkualiti dan berdaya saing untuk menjadi pelapis kepada pemimpin masyarakat untuk masa akan datang,” jelasnya lagi.
Prof Madya Dr Zaimuariffudin yang juga pensyarah kanan di Fakulti Sains Kognitif & Pembangunan Manusia UNIMAS berkata, kursus selama tiga hari itu memuatkan modul untuk tahap asas dan spara lanjut.
“Modulnya dirangka secara holistik untuk merangkumkan tiga bahagian utama pembelajaran, iaitu membaik pulih pekakasan, perisian dan asas keusahawanan bidang servis telefon bimbit. Memandangkan kedudukan bidang ini yang berhadapan kekurangan juruteknik di pasaran, diharapkan peserta dapat mengambil peluang dan manfaat daripada program ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar mereka berjaya menjadi seorang usahawan dalam meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.