KUCHING, 21 JANUARI 2024: Kuasa untuk melantik jawatan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau tidak mempunyai komen susulan berita yang tular mengenai Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah menyerahkan surat peletakan jawatannya dan sedang bersiap-sedia untuk menyandang jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak yang kini disandang Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
“Saya tidak dapat komen, kerana kuasa mutlak adalah pada Yang di-Pertuan Agong,” katanya semasa ditemui para media ketika diminta mengulas mengenai isu terbabit selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Eden Damai Wellness, pada Sabtu.
Pada Jumaat, sebuah portal tempatan mendedahkan bahawa Speaker Dewan Negara itu meletakkan jawatan kerana bakal dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Untuk rekod, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng pada pada 1 Mac 2014.