LUNDU, 09 OKTOBER 2024: Kementerian Pendidikan Malaysia diminta untuk mengutamakan anak-anak Sarawak dalam pengambilan khas guru di negeri ini susulan pengambilan itu dibuka khas untuk Sarawak dan bukan bersifat anti Semenanjung Malaysia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara ini disebabkan berlakunya pertukaran guru yang kerap terutamanya dari Semenanjung Malaysia yang berpindah balik yang menjadi masalah di mana guru tempatan dari Sarawak tidak berlaku.
“Mereka bekerja dan berbakti kepada Sarawak tapi lepas dua tahun mereka akan minta untuk dipindahkan kembali ke tempat asal.
“Kalau anak Sarawak, mereka tidak minta untuk berpindah tetapi kalau berpindah pun hanya dalam Sarawak sahaja kerana itulah kita inginkan pengambilan awal guru dengan lebih banyak anak Sarawak tapi kini tidak ditunaikan.
“Perkara ini telah saya serahkan kepada Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn yang kini masih berbincang bersama Kementerian Pendidikan,” kata beliau dalam satu sidang media selepas Majlis Perasmian Akademi Aeroangkasa di CENTEXS Lundu pada Selasa.
Baru-baru ini, Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) telah membuka pengambilan khas guru Sarawak kepada negeri-negeri lain.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland ketika diminta untuk mengulas lanjut mengenai perkara ini berkata, pihak SPP sepatutnya hanya menerima rakyat Sarawak untuk perkara ini disebabkan lebih 15,000 yang memohon untuk pengambilan guru tersebut.
Difahamkan katanya, lebih 2,000 orang luar Sarawak yang memohon bagi pengambilan guru khas tersebut.
“Kali ini, mereka pula ingin memberikan tempat tersebut kepada orang bukan Sarawak di mana saya tidak berapa gembira dengan perkara tersebut.
“Hal ini kerana kita sudah berbincang dengan mereka dan pelan tersebut sepatutnya dijalankan mengikut yang ditetapkan,” ujarnya.
Turut hadir sama ialah Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak; Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu; Azizul Annuar Adenan, ADUN Opar; Billy Sujang, Pengerusi CENTEXS; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan; Datuk Lokman Hakim Ali serta tetamu kenamaan yang lain-UKAS