KUCHING, 11 FEBRUARI 2024 (SNN): Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) menzahirkan komitmen untuk memberikan kerjasama kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, KPDN komited untuk membantu meningkatkan kapasiti dan mekanisme penguatkuasaan khususnya dalam menangani isu ketirisan subsidi melibatkan aktiviti pengedaran gas asli dan gas petroleum cecair (LPG).
“KPDN akan bersedia memberikan sokongan penuh dan akan bekerjasama untuk kita menjayakan hasrat sbegaimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah pun sebenarnya dipersetujui dan telah selesai proses perundangan untuk menyerahkan kawal selia itu kepada Sarawak.
“Walaupun begitu, KPDN selaku agensi persekutuan akan terus membantu khususnya di peringkat awal ini, bagaimana aspek penguatkuasaan di peringkat negeri tersebut dapat diperkemaskan.
“Pada masa yang sama sekiranya mereka memerlukan bantuan daripada penguatkuasa kita untuk menguatkuasakan Ordinan pengedaran gas itu oleh kementerian MUT, kita akan sentiasa terbuka untuk membantu Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan PJR Parlimen Santubong bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Nancy Shukri di Mydin Bandar Baru Samariang pada Jumaat.
Berhubung pertemuan bersama Pesuruhjaya Polis Sarawak YDH Dato Mancha Ata, beliau berkata perbincangan tersebut tertumpu kepada strategi meningkatkan kerjasama berterusan KPDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak.
Jelasnya, antara fokus utama adalah berhubung penguatkuasaan membanteras ketirisan minyak diesel bersubsidi melalui Task Force yang telah ditubuhkan bagi Ops Tiris.
“Untuk Negeri Sarawak, sepanjang pelaksanaan Ops Tiris pada tahun 2023, 168 kes telah direkodkan dengan nilai rampasan berjumlah RM6,554,327. Daripada kseluruhan kes tersebut, 62 peratus adalah serahan kes daripada PDRM iaitu melibatkan PGA dan Polis Marin,” ujarnya.
Jelasnya lagi, PDRM telah memainkan peranan yang amat baik dalam membantu KPDN melaksanakan penguatkuasaan untuk menangani isu ketirisan diesel.
Terdahulu, Datuk Armizan bersama rombongan mengadakan kunjungan ke atas Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi di pejabat beliau dan seterusnya membincangkan perkara-perkara berkaitan terutama isu pengedaran tabung gas silinder bersubsidi (LPG) dan gas asli.
Pada pertemuan itu juga, beliau menyatakan komitmen KPDN untuk memberikan kerjasama dari segala aspek dan mekanisme sekiranya diperlukan oleh kementerian tersebut.-UKAS