MIRI, 06 SEPTEMBER 2020 (SNN) : Semalam berlangsungnya Konvensyen Khas Parti Pusakan Bumiputera Bersatu (PBB) yang diadakan buat pertama kalinya dipecahkan kepada empat kawasan/zon iaitu Miri, Sibu, Betong dan Kuching mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, konvensyen tersebut pada peringkat pertama telah memperkenalkan topik mengenai undang-undang pilihan raya, kesalahan pilihan raya dan tatacara berkempen.
“Peringkat kedua pula akan menjelaskan mengenai hala tuju kerajaan negeri termasuk penjelasan berhubung dengan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
“Perancangan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk Sarawak semuanya disertakan dengan sumber kewangan yang mencukupi dan bukannya hanya janji kosong,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong ketika ditemui hadir pada persidangan itu.
Tambahnya, Ketua Menteri mencari sumber kewangan menggunakan strategi yang telah dirancang berdasarkan kelebihan yang ada di negeri ini seperti minyak dan gas, hidrogen serta ekonomi digital.
Beliau yakin bahawa Sarawak akan melihat zaman kecermelangannya dibawah kepimpinan Ketua Menteri menuju tahun 2030, disamping mencapai dasar ekonomi baharu yang seimbang dan mampan.-Sumber Ukas.