KUCHING, 02 APRIL 2023 (SNN): Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan mengadakan konvensyen parti di tiga zon iaitu Zon Selatan, Zon Tengah dan Zon Utara bersempena sambutan 60 tahun Sarawak merdeka pada Julai ini.
Premier Sarawak merangkap Presiden parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, konvensyen itu diadakan bagi tujuan memaklumkan kepada awam pencapaian yang dikecapi kerajaan dari sudut ekonomi, sosial serta pelaksanaan dasar.
“Sarawak sekarang ini sedang beralih kepada ekonomi yang baharu dan banyak sekto-sektor baru yang mungkin tidak ada di negeri lain akan ada di Sarawak, jadi kita akan mendedahkan kepada rakyat matlamat kita sejajar dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.
“Kita juga perlu memaklumkan kepada mereka mengenai pembabitan teknologi-teknologi terkemuka termasuk apa yang saya pernah sebut iaitu satu teknologi di Sarawak yang mampu mengubah dimensi ekonomi Sarawak bahkan membabitkan kawasan lain di dunia,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Serentak Majlis Kepimpinan Tertinggi Gabungan Parti Sarawak & Majlis Tertinggi Parti PBB di Ibu Pejabat PBB pada Sabtu.
Mengulas lanjut mengenai peranan GPS dalam kerajaan perpaduan, Abang Johari menjelaskan kerajaan GPS bersetuju di atas pembentukan Majlis Perundingan Kepimpinan kerajaan perpaduan yang mana akan sentiasa membuat rundingan dengan kerajaan pusat mengenai hala tuju pembangunan negara disamping menyelaras apa jua isu jika terdapat masalah di antara dua pihak.
“Walaupun setakat ini tidak ada masalah sebenarnya tetapi kita selalu ada proses perundingan, umpamanya dalam kita hendak membangunkan projek RM50 juta ke bawah,” jelasnya lagi.
Turut hadir sama Timbalan Yang di -Pertua PBB; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di-Pertua Kanan PBB; Dato Sri Fadillah Yusof, Pengerusi Tetap PBB; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Naib Yang di-Pertua PBB; Datuk Julaihi Narawi, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Dato Gerawat Gala dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Naib Yang di-Pertua PBB; (Wanita) Dato Sri Fatimah Abdullah, Naib Yang di-Pertua (Pemuda); Datuk Gerald Rentap Jabu serta semua ahli Majlis Tertinggi PBB.