BINTANGOR, 07 FEBRUARI 2023 (SNN): Kontraktor penyelamat akan dilantik bagi meneruskan Pembinaan Loji Rawatan Air Sg Sian Bintangor yang telah tergendala selama setahun.
Menteri Utiliti & Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, projek itu sepatutnya dijadualkan siap pada 15 April 2022 dalam tempoh 15 bulan.
Namun katanya, kemajuan projek itu hanya mencapai 48 peratus setakat ini sambil menegaskan tidak dapat menunggu kontraktor yang tidak mampu untuk menyiapkan projek tersebut.
“Sepatutnya projek itu siap 15 April 2022. Sekarang sudah masuk 2023 maknanya hampir setahun projek ini tergendala.
“Itupun kemajuannya setakat 48 peratus sahaja. Kita tidak boleh tunggu kontraktor yang tidak mampu untuk menyiapkan projek ini,” katanya kepada wartawan semasa Lawatan Kerja ke Loji Rawatan Air Sg Sian Bintangor pada Ahad.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual.
Dalam perkembangan lain, Datuk Julaihi berkata kerja-kerja baikpulih paip submarin dari Seberang Sungai Sian Bintangor sudah bermula dan jangka masa untuk kontraktor yang dilantik membaikpulih paip terputus tersebut selama empat bulan iaitu sebelum Jun 2023.
Apabila siap kelak, paip submarin itu akan membolehkan kawasan Sungai Sian Bintangor menikmati air bersih seperti sedia kala.
Hadir sama dalam lawatan tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong; Datuk Ding Kuong Hiing.-UKAS.