KUCHING, 08 APRIL 2022 (SNN) : Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi meningatkan pihak kontraktor yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja naiktaraf bekalan air dengan lebih cekap serta tidak menghalang sepenuhnya laluan orang awam sehingga tidak dapat dilalui.
Beliau yang mengadakan lawatan kerja mengejut ke tapak projek naiktaraf projek bekalan air di Jalan Batu Kawa/Matang di kawasan perumahan Taman Harmoni pada sebelah pagi tadi menjelaskan, kawasan berkenaan mempunyai hampir 800 buah rumah dan mendapati kerja-kerja terbabit telah menyebabkan kerosakan pada stuktur jalan sehingga tidak dapat dilalui oleh penduduk.
Datuk Julaihi telah mengarahkan pihak kontraktor supaya membaikpulih dengan kadar segera jalan raya di lokasi terbabit supaya penduduk di sekitar taman perumahan berkenaan dapat menggunakan semula jalan itu yang merupakan laluan utama keluar dan masuk ke kawasan tempat tinggal.
“Dalam masa yang sama, saya turut mengarahkan pihak juruperunding serta dari Kuching Water Berhad (KWB) untuk menyerahkan laporan segera siap kerja berhubung kejadian bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.
“Selain itu, saya turut meminta KWB dan pihak berkaitan untuk memastikan tiada gangguan bekalan air atau bekalan air terputus ke kawasan perumahan akibat daripada kerja-kerja baikpulih itu termasuklah tiang elektrik dan talian elektrik harus dijaga supaya tidak menyebabkan kerosakan lain,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Justeru, beliau mahu pada masa akan datang kejadian seperti itu tidak lagi berulang di mana-mana projek baik pulih bekalan air atau yang berkaitan agar tidak mengganggu keselesaan dan keselamatan orang awam disamping berharap projek berkenaan daapt disiapkan mengikut prosedur yang telah dijadualkan.
Turut hadir sama beliau adalah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong; Fazzarudin Abdul Rahman dan Pengurus Besar KWB; Pn Rodziah Mohamad.