SEBUYAU, 14 MAC 2024 (SNN): Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) perlu memahami serta menyampaikan dasar kerajaan semasa untuk disampaikan kepada masyarakat di bawah kawasan jagaan masing-masing.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dalam satu kenyataan memberitahu, KMKK mestilah bertindak aktif dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.
“Selain itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipengerusikan oleh KMKK yang berkaitan juga harus berfungsi dengan sempurna dan berkesan.
“Ini penting kerana masyarakat di kawasan jagaan masing-masing menjadikan mereka (KMKK) sebagai rujukan dan tempat mendapatkan makluamt berkaitan terutama bantuan yang disalurkan oleh kerajaan,” kata beliau selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Pelantikan Ketua Kaum di Pejabat Daerah Sebuyau, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi Narawi yang juga ADUN Sebuyau mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada empat ketua kaum baharu bagi Kampung Tungkah Melayu Hilir (Hamda bin Piee), Kampung Giat Mara Sebuyau (Wan Khata bin Wan Bakar), Kampung Skitong Sebuyau (Benson ak Polin) dan Kampung Beliong Hilir Sebuyau (Setil ak Piu).
Turut hadir sama adalah Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuadiman Bin Bujang, SAO Tahir Putih, Faizereen, Ajis hmad, Pemanca Hj Asli Yahya dan Merum ak Babu serta beberapa KMKK ynag lain.