KUCHING, 11 JUN 2022 (SNN): Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIK) Kampung Bintawa Hilir rasmi digunakan dan bakal memberi manfaat kepada lebih 20,000 penduduk setempat di kawasan Seberang Hilir.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, klinik yang dilengkapi bangunan baharu dengan kos binaan sebanyak RM1.05 juta tersebut telah lama menjadi idaman penduduk di kawasan ini.
“Saya gembira projek yang dilaksanakan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ini telah siap dan sedia digunakan oleh masyarakat.
“Setelah sekian lama mereka menanti pembukaan klinik baharu ini, ianya penting bagi memudahkan golongan ibu khususnya masyarakat berhampiran mendapatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik dan selesa,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Kampung Bintawa Hilir pada Jumaat.
Tambahnya lagi, permulaan projek itu adalah berjumlah RM1 juta namun tambahan RM50,000 diperuntukkan untuk membina kawasan tempat letak kereta dan tandas awam.
Selain itu, Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong turut memohon agar KKIK dinaik taraf kepada Klinik Kesihatan supaya menjadi klinik yang memberi perkhidmatan kepada semua dan bukan terhad kepada ibu dan anak di kawasan itu.
“Walaubagaimanapun, apa saja keperluan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat negeri untuk menaiktaraf segala kemudahan lain, InshaaAllah saya boleh membantu,” katanya.
Jelas beliau, selepas ini penduduk sekitar tidak lagi perlu risau untuk mendapatkan rawatan kesihatan berkualiti kerana KKIA mempunyai kakitangan yang terbaik, peralatan yang moden dan perkhidmatan yang cemerlang.
Turut hadir Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap ADUN Pantai Damai; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Setiausaha Politik kepada Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang); Datuk Syed Hamzah Syed Paie.