KUCHING, 25 OGOS 2022 (SNN): Konvensyen Graduan Melayu Sarawak (KGMS) merupakan platform perhimpunan bagi graduan Melayu bersama pemimpin untuk menyelami aspirasi pada peringkat akar umbi serta mendapatkan maklum balas serta suara daripada para graduan melalui perbincangan yang diadakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau menyeru agar semua graduan Melayu Sarawak, pelajar, pekerja, usahawan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu untuk sama-sama hadir berhimpun bagi menzahirkan suara mereka dalam hal berkaitan dengan kemajuan sosial, ekonomi dan politik Orang Melayu.
“Kita dapat bersatu, bukan sahaja penting kepada masyarakat Melayu itu bersatu padu dan bekerjasama antara satu dengan yang lain tetapi semangat perpaduan haruslah merangkumi semua nya.
“Justeru, inilah asas kepada kestabilan politik dan usaha untuk menjamin kenteraman, keselamatan dan keharmonian hidup masyarakat kita walaupun berbeza keturunan, budaya dan latar belakang yang berbeza-beza,” kata beliau dalam ucapan merasmikan Konvensyen Graduan Melayu Sarawak 2022 bertempat di Borneo Convention Centre (BCCK) Kuching di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan turut mengingatkan rakyat negeri ini bahawa kestabilan politik dan keharmonian antara kaum amat diperlukan bagi mencapai matlamat ditetapkan kerajaan Sarawak dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS).
“Hal ini kerana Sarawak seperti umpama taman yang mempunyai pelbagai jenis bunga yang berlainan warna, di sini tidak ada satu kaum pun yang memerintah secara majoriti.
“Inilah yang membuatkan Sarawak sangat unik, walaupun kita mempunyai pelbagai agam dan budaya yang berbeza, kita tetap sebagai satu identiti iaitu Sarawakian,” ujar beliau lagi.
Sehubungan itu, beliau menambah kerjasama masyarakat daripada pelbagai kaum dan agama perlu terus dipererat dan dikekalkan bagi memastikan setiap pekara dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Dalam pada itu, Perhimpunan Graduan Melayu bersama pemimpin ini diadakan bermula jam 7.30 pagi hingga 5 petang yang dihadiri lebih 325 orang ahli Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS).
Pada program tersebut, turut diadakan penyampaian insentif kepada tiga orang pelajar cemerlang SPM 2021 iaitu Muhammad Syafiq Abdul Rahman yang diwakili oleh ibunya Dr. Syarifah Hafizah Wan Kassim dan Aufa Abdul Hadi yang diwakili oleh bapanya Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir masing- masing dari Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.
Turut menerima insentif yang sama ialah Siti Nurfarahin Sarbini dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pujut, Miri.
Hadir sama pada konvensyen berkenaan ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah & Alam Sekitar; Datu Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Tenaga & Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Dr. Haji Hazland Abang Hipni, Penasihat Kementerian Pembangunan Antarabangsa, Industri & Pelaburan Sarawak; Datuk Mohd Naroden Majais, Yang Dipertua Ikatan Graduan Melayu Sarawak (IGMS) Merangkap Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS); Datu Dr. Sanib Said dan dif-dif kenamaan yang lain.