KUCHING, 02 JULAI 2021 (SNN) : Sejumlah 291,000 daripada 583,000 penduduk di sekitar Kuching, Bau dan Lundu yang layak menerima suntikan vaksin telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat hari ini.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam sidang media memberitahu jumlah tersebut adalah termasuk yang direkodkan sejak tiga hari lalu bagi mereka yang menerima suntikan vaksin. Beliau yakin dengan peningkatan jumlah penerima vaksin ini Sarawak mampu mencapai sasaran iaitu 80 peratus rakyat di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin dos pertama.
“Setakat ini Sarawak telah berjaya mencapai sekitar 50 peratus penduduk Sarawak menerima vaksin terutama di kawasan bandar-bandar besar seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri. Sekiranya trend ini berlanjutan kita mampu mencapai sasaran menjelang awal Ogos ini.
“Usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran imuniti kelompok ini adalah bergantung kepada kerjasama rakyat negeri Sarawak dan hasrat saya agar mereka tidak perlu takut bagi menerima suntikan vaksin agar rantaian jangkitan virus Covid-19 dapat diputuskan,” kata beliau dalam sidang media semasa mengadakan lawatan kerja di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Kesihatan Jalan Masjid di Dewan Majma’ Mall semalam.
Sementara itu, Ketua Penyelaras PPV KK Jalan Masjid, Dr. Maila Mustapha berkata sepanjang PPV beroperasi sejak dua hari lalu yang melibatkan seramai 160 petugas sukarelawan dari pelbagai agensi kerajaan dan NGO anggaran penduduk yang datang untuk menerima vaksin dalam sehari adalah 600 orang. Angka ini dijangka akan bertambah sekiranya masyarakat diluar sana tampil secara sukarela untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi melindungi diri dan keluarga.
Turut hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak; Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian.