KUCHING, 03 NOVEMBER 2021 (SNN) : Tan Sri Abang Johari Tun Openg menamatkan spekulasi apabila beliau sah akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak kali ini. Beliau yang sebelum ini penyandang kerusi DUN Satok selama lapan penggal menggantikan Datuk Mohd Naroden Majais di kerusi DUN tersebut.
Pengumuman yang dibuat Abang Johari sendiri pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah pelantikan Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini hari ini turut menyaksikan Naroden mengundur diri daripada bertanding pada PRN12 kali ini manakala kerusi DUN Satok diserahkan kepada Dato Ibrahim Baki.
Selain Abang Johari, dua timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kekal di kerusi DUN Bukit Saban serta DUN Bukit Sari manakala Presiden SUPP, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian kekal di DUN Batu Kawah.
Dalam masa yang sama, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS turut mendedahkan terdapat 24 muka baharu yang akan bertanding pada PRN-12 kali ini yang mana mereka berumur diantara 30 hingga 40-an. Salah satunya ialah, DUN Tanjung Datu yang dahulunya disandang oleh Datuk Amar Jamilah Anu dan digantikan anaknya Azizul Anuar Bin Adenan.
Manakala DUN Lingga yang disandang oleh Simoi Peri digantikan dengan Dayang Noorazah Binti Awang Sohor dan penyandang kerusi DUN Baleh yang juga merupakan anak saudara mendiang Tan Sri James Jemut Masing Nicholas Kudi Anak Jantai Maseng yang kosong selepas Timbalan Ketua Menteri Sarawak meninggal dunia akibat komplikasi jantung November lalu.
Untuk rekod, pada PRN-11 lalu, GPS yang bertanding atas tiket Barisan Nasional menang 72 kerusi menewaskan DAP dengan tujuh kerusi manakala PKR tiga kerusi dan pada PRN kali ini GPS yakin akan menang lebih banyak kerusi DUN Sarawak.