KOTA SAMARAHAN, 21 JANUARI 2022 (SNN) :Kerja-kerja membaik pulih jalan rosak dan berlubang di sepanjang jalan Samarahan Expressway dan Jalan Pesisir Asajaya-Sadong Jaya sedang giat dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dalam satu kenyataan memberitahu, jalan pesisir yang bermula dari persimpangan Kampung Tambay hingga ke Asajaya kini dalam proses naik taraf.
“Proses tersebut adalah melibatkan penurapan jalan tiga lapisan bagi memenuhi keperluan pengguna jalan raya yang semakin ramai dan dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan termasuk kenderaan muatan berat.
“Berdasarkan aduan orang awam, terlalu banyak kenderaan berat lebih muatan menggunakan jalan ini sehingga pelaksanaan kerja baik pulih tergendala di samping struktur jalan cepat rosak,” katanya.
Rubiah menambah, pihaknya merancang untuk meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menggandakan penguatkuasaan terhadap kenderaan melebihi mutan yang kerap menggunakan jalan berkenaan bagi mengelakkan berlaku kerosakan jalan serta pematuhan standard berat yang ditetapkan.