SINGAPURA, 05 OGOS 2023 (SNN): Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dan Singapura berkaitan projek kabel elektrik dasar laut merentasi Koridor Muri-Midai, indonesia sepanjang 720 Kilometer kini dalam peringkat perbincangan jelas Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi.
Menurutnya, cadangan projek kabel dasar laut dari Tondong, Sarawak ke Singapura itu bertujuan untuk Sarawak membekalkan dan menjual tenaga elektrik ke negara republik berkenaan.
Julaihi yang mengetuai deligasi ke Singapura atas lawatan rasmi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) itu turut mengadakan mesyuarat dengan Menteri Tenaga Kerja Singapura, Dr Tan See Leng bagi memperhalusi persetujuan bersama kerjasama pembekalan tenaga elektrik menggunakan kabel dasar laut sepanjang 720 kilometer.
“Kabel yang dipasang yang akan merentasi Koridor Muri-Midai, Indonesia itu nanti berupaya menampung 1,000 Megawatt elektrik manakala kos pemasangan kabel itu akan ditanggung oleh Singapura.
“Kita (Sarawak) hanya menjalankan jual beli elektrik dengan Kerajaan Singapura,” ujarnya dalam satu kenyataan selepas mengadakan sesi taklimat bersama menteri Singapura baru-baru ini.
Sebelum ini, pada Januari Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyertai rombongan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Singapura pernah membincangkan projek bekalan elektrik ke negara republik berkenaan.
Katanya, projek yang akan ditanggung oleh Singapura itu akan menelan kos projek sebanyak SG$8 bilion dan beliau yakin projek itu nanti mampu direalisasikan menerusi hasil perbincangan antara Indonesia dan Singapura kelak.
Turut hadir sama adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ketua Pengarah Eksekutif Sarawak Energy Berhad; Datu Sharbini Suhaili.