JAKARTA, 16 MAC 2022 (SNN) : Kerajaan Sarawak menyatakan sokongan terhadap projek pembangunan Hidroelektrik Mentarang Induk (MIHEP) melalui penyertaan syarikat milik penuhnya, Sarawak Energy Berhad dengan kerjasama daripada Republik Indonesia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mengetuai delegasi Sarawak semasa mengadakan perjumpaan dua hala dengan Menteri Penyelaras Maritim dan Hal Ehwal Pelaburan Indonesia (MEMR), Luhut Binsar Pandjaitan menjelaskan satu mesyuarat diadakan sebagai tanda sokongan kerajaan negeri Sarawak untuk membangunkan projek dua hala iaitu Hidrolektrik Mentarang Induk (MIHEP).
Menurut beliau lagi, Kerajaan Sarawak akan melibatkan diri secara langsung dalam projek terbabit menerusi penubuhan salah satu syarikat usaha sama Sarawak Energy Berhad iaitu PT Kayan Hydropower Nusantara (PT KHN) dengan membekalkan tenaga lestari berskala besar untuk menyokong Taman Tenaga Hijau Kuning.
“MIHEP kini berada dalam peringkat persediaan yang selanjutnya dan sebagai Menteri bertanggungjawab untuk tenaga, pandangan dan sokongan daripada MEMR terus akan diperolehi terutamanya bagi hal ehwal permohonan permit di bawah kementerian tersebut,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Awang Tengah turut menambah MIHEP merupakan empangan yang direka khusus untuk menjana kapasiti 1,375 megawatt (MW) dari Sungai Mentarang di Kabupaten Malinau, provinsi Kalimantan Utara.
Perjanjian Utama antara Sarawak Energy, syarikat usahasamanya Kayan Patria Pratama (KPP) dan Adaro (HOA) akan menyaksikan Sarawak Energy (di bawah Sarawak Energy Services) dan KPP (di bawah Kayan Investama Internasional) sebagai pemegang saham KHN membangunkan perkongsian dengan Adaro untuk mengambil bahagian dalam pembangunan MIHEP.
“Ia untuk membangunkan MIHEP sebagai bekalan tenaga boleh diperbaharui kepada KIPI Tanah Kuning bagi menyokong agenda Pembangunan Industri Berasaskan Tenaga Diperbaharui (REBID) Kerajaan Indonesia,”tegasnya.
Turut hadir sama dalam rombongan deligasi tersebut adalah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Dr Hazland Abang Hipni, pegawai kerajaan lain serta wakil Sarawak Energy.