More
    Home Sarawak Limbang Kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan amat penting dalam memberikan perkhidmatan terbaik...

    Kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan amat penting dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat

    LAWAS, 12 DISEMBER 2022 (SNN): Jabatan dan agensi kerajaan harus bekerjasama dengan pemimpin dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

    Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini termasuklah mereka yang berperanan dalam melaksanakan projek-projek pembangunan agar ia dapat disiapkan mengikut spesifikasi masa ditetapkan.

    “Saya mahu jabatan yang bertanggungjawab dalam pelaksanaan projek-projek harus membuat penilaian supaya projek tidak akan terlewat.

    “Kita mahu kawasan kita di Limbang dan Lawas sama-sama membangun dengan kawasan-kawasan yang lain. Ini harus dilaksanakan dengan baik,” kata beliau ketika berucap dalam Malam Apresiasi Sejambak Budi di Hotel Seri Malaysia pada Ahad.

    Mengulas lanjut mengenai Kerajaan Perpaduan yang dibentuk hari ini, beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak menjelaskan Premier Sarawak akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong demi perpaduan dan kestabilan negara.

    “Kita juga mahu Perdana Menteri akan terus memberi perhatian kepada hak-hak kita serta keperluan pembangunan Sarawak ini.

    “Kita mahu Kerajaan Persekutuan yang baru ini menghormati kebebasan agama serta adat resam kita kerana kita di Sarawak ini berbilang kaum.

    “Kerajaan Persekutuan juga harus menghormati kuasa-kuasa yang ada pada kita seperti imigresen, cukai dan sebagainya,” jelasnya.

    Hadir sama Ahli Parlimen Lawas; Dato’ Henry Sum Agong serta isteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang; Sebi Abang, Timbalan Residen bahagian Limbang; Jamalie Busrie, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA); Datu Ubaidillah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas; Ladin Atok, Setiausaha Premier Sarawak; Kaunselor Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak; Sam Laya.-UKAS.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    AKYBMS berhasrat untuk mencalonkan Hikayat Panglima Nikosa dalam program UNESCO

    0
    KUCHING, 22 DISEMBER 2024 (SNN): Kolokium Novel Pertama Di Dunia ' Hikayat Panglima Nikosa' yang merupakan acara Tahunan Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak...