KUCHING, 28 MAC 2024 (SNN): Kerja-kerja fizikal menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang yang bermula sejak 1 Mac 2021 lalu dijangka siap sepenuhnya menjelang Julai tahun ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, siapnya projek ini nanti akan meningkatkan kapasiti air dari loji berkenaan sebanyak 104 juta liter sehari (MLD) bagi memenuhi permintaan bekalan air yang semakin banyak pada hari ini.
“Sekarang, kapasiti air di Loji Rawatan Air Batu Kitang adalah sebanyak 780 MLD yang mana ia memenuhi permintaan semasa iaitu sebanyak 730 MLD buat masa ini.
“Kerja naik taraf ini akan meningkatkan lagi kapasiti ini sebanyak 104 MLD sekaligus membolehkan loji ini mengeluarkan kapasiti air sebanyak 884 MLD,” kata beliau pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Loji Rawatan Air Batu Kitang pada Khamis.
Tambah beliau, peningkatan jumlah kapasiti ini akan dapat memenuhi keperluan air bersih di beberapa kawasan termasuklah di Petra Jaya, Santubong, Rambungan, Sempadi dan Demak Laut.
Dalam pada itu, Dato Sri Julaihi memberitahu usaha Lembaga Air Kuching (KWB) meningkatkan kapasiti pengeluaran air ini adalah untuk memenuhi permintaan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi beberapa kawasan yang masih terkesan dengan masalah bekalan air.
“Projek ini juga dapat memenuhi sebahagian permintaan daripada pihak JBALB kerana jabatan tersebut turut bergantung kepada loji rawatan air di sini untuk membekalkan air di kawasan bahagian Kota Samarahan,” jelas beliau lagi.
Mengulas lanjut mengenai kerja-kerja penggantian paip air di seluruh Sarawak, beliau mengumumkan bahawa kerja-kerja penggantian ini akan bermula pada tahun ini dengan penekanan diberikan ke kawasan kritikal.
“Kita mempunyai 2,740 kilometer (km) paip air yang perlu kita gantikan di seluruh Sarawak di mana untuk tahun 2024 sahaja, kita akan membelanjakan dana berjumlah RM247 juta untuk projek penggantian paip ini.
“Kita akan mengenal pasti di mana kawasan kritikal yang perlu kita ganti paip yang rosak dan perlu dinaik taraf supaya ini membolehkan bekalan air sampai dalam keadaan yang sempurna,” jelasnya lagi.
Dato Sri Julaihi turut memberitahu, kerja penggantian paip ini merupakan pelan jangka panjang selama lima tahun dengan dana yang telah diluluskan melebihi RM1 bilion.-UKAS