KUCHING, 14 SEPTEMBER 2023: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited menyokong penglibatan suri rumah dalam aktiviti ekonomi dengan mempromosikan bidang keusahawanan kepada mereka.
Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata, ramai wanita sukar meneruskan kerjaya kerana komitmen keluarga dan kerja penjagaan tanpa gaji di rumah, tanggungjawab yang masih dipikul terutamanya oleh wanita hari ini.
“Wanita berbanding lelaki, terpaksa meninggalkan kerjaya mereka, bukan atas pilihan sendiri tetapi disebabkan kos penjagaan yang tinggi.
“Bidang keusahawanan terutama perniagaan dalam talian sering menjadi pilihan utama untuk wanita-wanita yang menjadi suri rumah bagi memperoleh pendapatan bagi menampung kehidupan keluarga mereka.
“Oleh itu, suri rumah yang berhasrat untuk menjalankan perniagaan dari rumah ini perlu dibantu dari segi bimbingan, latihan dan pembiayaan,” kata beliau ketika merasmikan majlis penutupan Program Mencipta Pendapatan Wanita (WeJana) 2023 di Tegas Digital Village, Sama Jaya Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu, program WeJana adalah antara fokus KPWKM dalam menyediakan ekosistem yang menyokong kepada wanita untuk terlibat dalam ekonomi.
Program ini mensasarkan peserta daripada kalangan suri rumah wanita yang terlibat dengan penjagaan tanpa gaji supaya mereka dapat memperoleh pendapatan di samping dapat menjalankan tanggungjawab mereka sebagai penjaga.
Selain itu, objektif utama adalah membimbing peserta dalam menjana pendapatan sendiri dan memberi latihan dalam perniagaan, terutamanya dalam talian.
Program ini juga membangunkan jaringan antara peserta.
Untuk rekod, seramai 200 orang peserta dan seramai 30 orang peserta daripada negeri Sarawak telah dipilih menyertai program ini.-UKAS