KUCHING, 17 MAC 2021 (SNN) : Sarawak komited melaksanakan kesamarataan keatas semua penduduk di negeri ini melalui pelaksanaan Agenda Transformasi Ekonomi Digital Sarawak menjelang tahun 2030.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi agenda mentransformasikan ekonomi Sarawak kearah ekonomi digital, setiap masyarakat memainkan peranan masing-masing dan ia akan dinilai berdasarkan mata merit atau kebolehan mereka.
“Apabila kita melaksanakan dengan mengubah sistem ekonomi kepada digital, ia akan memberi peluang kepada semua rakyat terutama bagi mereka yang ingin terlibat dalam pendekatan ekonomi baharu ini.
“Konsep digitalisasi ini tidak terikat dengan faktor jantina kerana teknologi tersebut dapat dikuasi atau diceburi oleh pelbagai lapisan masyarakat asalkan mereka mempunyai keinginan dan kemahiran. Dengan itu, setiap individu yang menguasai teknologi baharu pada masa kini juga akan lebih maju ke hadapan,” kata beliau semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2021 secara maya, di sini, hari ini.
Tambahnya, kita dapat melihat contoh di Silicon Valley apabila di sana kebanyakan syarikat berteknologi besar dipimpin oleh golongan wanita. Tidak hanya itu, semalam semasa menghadiri taklimat kerja di Limbang jurutera projek yang menyampaikan taklimat juga adalah seorang wanita.
“Selain itu, peluang turut diberikan kepada rakyat yang mempunyai latar belakang dan pengetahuan terkini dalam membuat keputusan dengan sewajarnya kerana mereka ini berpotensi untuk mengubah masa depan negeri Sarawak,” ujar beliau.
Turut hadir sama isteri Ketua Menteri; Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak; Datuk Seri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti; Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak; Datuk Rosey Yunus dan ahli kenamaan yang lain.