LAWAS, 06 JULAI 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak akan terus memberi tumpuan dalam membangunkan serta menaik taraf kemudahan infrastruktur termasuklah yang berkaitan dengan bekalan air dan elektrik, pendidikan dan teknologi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan Negeri akan menaik taraf kemudahan jalan raya dan telekomunikasi selain kemahiran dalam mengadaptasikan penggunaan teknologi terkini.
“Kita akan tingkatkan segala kemudahan terutamanya dari segi kemahiran contohnya kita telah membina Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan juga GIATMARA yang berfungsi menyumbang kemahiran dalam pelbagai bidang kepada anak-anak Sarawak,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) pada Rabu.
Dalam pada itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak itu turut menambah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dalam melaksanakan program yang bermanfaat kepada masyarakat setempat.
“Kita salurkan bantuan secara berperingkat tanpa mengira kepercayaan agama, oleh itu gunakannya dengan sebaik yang mungkin,” tambahnya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lawas; Dato Henry Sum Agong, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA); Datu Ismawi Ismuni, Residen Bahagian Limbang; Unus Tambi, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak; Awangku Zainal Abidin Dato Pengiran Jawa dan Pegawai Daerah Lawas; Ladin Atok.-UKAS