SEOUL, 22 MEI 2024 (SNN): Kerajaan Negeri Sarawak dan Korea Selatan bersetuju untuk terus mengeratkan kerjasama ekonomi khususnya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Selasa.
Premier Sarawak serta rombongan yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Korea Selatan bermula Selasa lalu menjelaskan, usaha tersebut telahpun dibincangkan dalam mesyuarat antara Korea Selatan melalui Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan dengan kerjasama Kerajaan Sarawak sejurus tiba di Seoul.
Tambah beliau lagi, dalam mesyuarat berkenaan juga syarikat-syarikat Korea akan bekerjasama dengan syarikat yang ada di Sarawak khususnya SEDCEnergy dalam program transisi negara tersebut kepada sumber tenaga hijau.
“Anak syarikat SEDC akan membekalkan gas hidrogen dan armonia untuk digunakan di Korea Selatan dalam usaha peralihan negara tersebut daripada penggunaan arang batu ke sumber yang boleh diperbaharui,” jelasnya ketika ditanya media.
Terdahulu, Premier Sarawak dan rombongan berpeluang menghabiskan masa lebih kurang satu jam untuk meninjau Loji jana kuasa Yongheung yang berada di bawah kelolaan syarikat Korea South East Power (KOEN) yang membekalkan 9.278 GW tenaga elektrik kepada keperluan tenaga Korea melalui lima lokasi penjanaan.
Untuk rekod, kapasiti penjanaan tenaga keseluruhan Korea Selatan adalah sebanyak 139,147 MW.
Premier Sarawak dalam lawatan kali ini diiringi Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Aalam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Turut sama mengiringi ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi SEDC, Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Bin Huussain.