BINTULU 22 MAC 2023 (SNN): Bagi memastikan sistem bekalan air terawat di negeri ini terurus dengan sistematik dan semua lapisan masyarakat mendapat manfaat, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM4 bilion bagi melaksanakan projek bekalan air bersih yang dapat disalurkan terus kepada rakyat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, peruntukan besar yang disalurkan kerajaan ini membuktikan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi komited dalam memastikan seluruh rakyat di negeri ini menerima manfaat bekalan air bersih tidak kira dimana mereka berada melalui apa sahaja sistem yang sesuai.
“Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, pihak kementerian telah menjalinkan kerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan di negeri ini yang mengendalikan pembekalan air terawat sebagai usaha memastikan kumpulan sasaran terutama di kawasan pedalaman yang mengalami masalah air kritikal turut mendapat bekalan air bersih.
“Adalah tidak dapat kita nafikan projek bekalan air bersih di Sarawak menghadapi cabaran yang cukup besar di mana negeri ini mempunyai keluasan yang cukup besar tambahan penempatan penduduk yang berselerak menyukarkan penyaluran air bersih pada satu-satu masa,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sarawak di Dinner World, Bintulu pada Selasa.
Tambah Julaihi, hasrat kementeriannya ketika ini adalah untuk merangka dan memperkenalkan satu entiti operator yang mana akan menggabungkan semua operator air di negeri ini bagi mewujudkan sistem pengurusan air yang lebih efisen.
Entiti ini nanti akan menggabungkan beberapa jabatan dan agensi seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management dalam masa terdekat.
Ujarnya, pihak kementerian dan agensi di bawah kementerian beliau akan terus komited melaksanakan projek pembekalan air ke seluruh penempatan di negeri ini kerana ia merupakan keperluan kritikal yang harus dipenuhi demi kesejahteraan rakyat.
Turut hadir sama kedua-dua timbalan menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Samalaju; Datuk Majang Renggi, ADUN Jepak; Datuk Talip Zulpilip, ADUN Tanjong Batu; Johnny Pang Leong Ming, Pengerusi LAKU Management; Datuk Nelson Balang Rining, Setiausaha Tetap MUT; Jafri Lias, CEO LAKU Management; Daniel Punang, Residen Bintulu, Ketua-Ketua Jabatan dan para pemimpin tempatan sekitar Bintulu.