More
    Home Sarawak Kuching Kerajaan Sarawak tambah 32 lagi mesin dialisis ekoran bilangan pesakit buah pinggang...

    Kerajaan Sarawak tambah 32 lagi mesin dialisis ekoran bilangan pesakit buah pinggang meningkat

    KUCHING, 31 DISEMBER 2024: Kerajaan Sarawak mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan di negeri ini dengan menambah 32 lagi mesin dialisis untuk memenuhi keperluan jumlah pesakit buah pinggang yang semakin meningkat.

    Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, mesin-mesin tersebut diperuntukkan di pusat dialisis terpilih yang disyorkan oleh hospital kerajaan.

    Walaupun ia salah satu langkah untuk memperkukuhkan sistem kesihatan di Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari menggesa rakyat agar mengamalkan gaya hidup sihat, terutamanya dalam mengawal pengambilan gula, sambil menekankan pentingnya pendidikan untuk meningkatkan kesedaran tentang perkara ini.

    Jelas beliau, masalah buah pinggang sering berpunca daripada tabiat pemakanan yang tidak sihat, kurang bersenam, serta pengambilan gula dan protein yang berlebihan tanpa diet seimbang atau aktiviti fizikal yang mencukupi.

    “Kita boleh menambah lebih banyak (mesin dialisis), tetapi pada masa yang sama, rakyat perlu belajar menjaga kesihatan mereka.

    “Menambah mesin bukan satu-satunya penyelesaian. Kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu rakyat,” katanya semasa Majlis Pecah Tanah Bangunan Perubatan dan Komersial Yayasan Buah Pinggang Che Hia Khor Moral Uplifting Society (CHKMUS), pada Isnin.

    YAB Premier ketika menyempurnakan simbolik perasmian Bangunan Perubatan dan Komersial Yayasan Buah Pinggang Che Hia Khor Moral Uplifting Society (CHKMUS)-Foto UKAS

    Tambah Abang Jo lagi, Sarawak sedang menuju ke arah populasi menua yang memerlukan perancangan bandar yang lebih baik, termasuk ruang hijau, kemudahan pemulihan dan sokongan kebajikan.

    “Jika Sarawak sihat, ekonomi juga sihat, dan rakyat akan sentiasa sihat serta tersenyum. Itulah yang kita harapkan menjelang tahun 2025,” jelasnya.

    CHKMUS merancang untuk memperluaskan pusat ini menjelang tahun 2025 dengan menambah lebih banyak mesin dialisis untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih 320 pesakit serta menawarkan perkhidmatan perubatan yang lebih baik demi manfaat orang ramai.

    Turut hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Kerja Raya; Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti; Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Datuk Snowdan Lawan, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Buah Pinggang CHKMUS; Dato Sri Tay Chin Kin, Pengerusi Persekutuan Persatuan Moral Uplifting Malaysia; Dato Sri Teh Meng Huat, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching; Raden Sigit Witjaksono, Pengerusi Penganjur acara; Kaunselor Eric Tay dan tetamu lain-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Pembukaan Jambatan Muara Lassa untuk orang awam bakal pacu pembangunan ekonomi...

    0
    DARO, 03 JANUARI 2025: Majlis prapelancaran Jambatan Muara Lassa akan diadakan pada 9 Januari ini, yang dijangka disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas...