KUCHING, 01 JUN 2024: Pelbagai inisiatif dan program yang telah dan akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Sarawak untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjaga seiring dengan kemajuan pembangunan negeri.
Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang memfokuskan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar adalah panduan dalam Sarawak merangka ke arah status wilayah maju dengan persekitaran mampan yang dipacu oleh data dan inovasi menjelang 2030.
“Infrastruktur asas dan pengangkutan perhubungan udara dan laut serta sistem telekomunikasi akan terus dipertingkatkan.
“Kadang juga diberi kepada pendidikan dan pembangunan bakat melalui sistem pendidikan dan latihan yang terbaik untuk memacu ekonomi digital demi untuk meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup masyarakat kita,” katanya dalam perutusan Gawai Dayak 2024 di Kuching pada Jumaat.
Datuk Amar Awang Tengah menambah, kerajaan juga sedang giat membangunkan ekonomi baharu terutamanya ekonomi hijau.
“Ini adalah selaras dengan perkembangan dan hala tuju global dalam menangani perubahan iklim dan pemanasan global seperti mana yang digariskan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG),” tambahnya.
Beliau turut berharap agar semua sedar bahawa bekerjasama dan berganding bahu adalah kunci ke arah kejayaan yang diimpikan.
“Marilah kita terus mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat kita agar kita dapat terus bersama maju ke hadapan ‘Segulai Sejalai’,” katanya-UKAS