More
    Home Sarawak Kuching Kerajaan Sarawak sedia tawar pinjaman sebanyak RM1 bilion untuk membina Pusat Kanser...

    Kerajaan Sarawak sedia tawar pinjaman sebanyak RM1 bilion untuk membina Pusat Kanser Sarawak

    KUCHING, 17 JANUARI 2022 (SNN): Kerajaan Sarawak komited untuk mewujudkan pusat kanser di negeri ini dengan menawarkan pinjaman sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan Persekutuan bagi tujuan pembinaan pusat berkenaan.

    Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan, usaha ini penting agar rakyat negeri ini termasuk Sabah dan Kalimantan, Indonesia boleh mendapatkan rawatan perubatan dengan kos yang lebih murah tanpa perlu membayar tambang penerbangan yang mahal.

    “Saya telah mencadangkan kepada kerajaan persekutuan untuk kita wujudkan pusat kanser di sini kerana saya tahu ia sangat mahal dan ia mungkin menelan belanja kira-kira RM800 juta hingga RM1 bilion.

    “Di situlah kerajaan Sarawak boleh bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan di mana kita boleh memberi pendahuluan pinjaman untuk membina pusat ini dengan peruntukan Sarawak. Selebihnya seperti doktor dan peralatan akan disediakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),”katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-20 Pusat Jantung Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada malam Isnin.

    Premier Sarawak menambah, kerajaan Sarawak mungkin mampu menanggung kos itu kerana mempunyai model kewangan tertentu untuk menubuhkan pusat ini dan ada cara untuk memulihkan kos.

    “Saya telah membuat kajian semula, kalau kerajaan persekutuan setuju, kita boleh mulakan pembinaan hujung tahun ini.

    “Dari segi rejim kewangan dan cara membiayainya, ia adalah keputusan kerajaan persekutuan, tetapi kita boleh bekerjasama demi rakyat kita, mereka dari Sabah dan Sarawak dan termasuk rakan-rakan kami di Kalimantan dan dalam kerjasama Asean dari segi penjagaan kesihatan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut bercadang untuk menghantar delegasi yang diketuai Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian untuk lawatan kerja ke syarikat Samsung Biologic di Seoul, Korea Selatan.

    “Syarikat itu sedang menjalankan penyelidikan kanser, khususnya mengenai pembuatan ubat-ubatan, jika ia berjaya ubat itu akan terus ke sel kanser tanpa menjejaskan sel lain,” tegasnya.

    Turut hadir, Isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian serta isteri Datin Sri Enn Ong, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan isteri Datin Amar Baduyah Bujang, Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia Lukanisman Awang Sauni.-UKAS.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    14 Resolusi Zon Betong yang dibentangkan telah diserah kepada Premier Sarawak

    0
    BETONG, 26 JANUARI 2025: Sebanyak 14 resolusi mesyuarat perwakilan yang dikemukakan oleh 14 Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang telah dibentangkan oleh...