KUCHING, 19 JANUARI 2022 (SNN) : Kerajaan Sarawak bercadang akan membangunkan sebuah lagi loji rawatan air bernilai RM1.6 bilion di Landeh dengan kapasiti 800 juta liter sehari (MLD).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, bagaimanapun pembinaan loji air tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Sebagai pelan jangka panjang, Lembaga Air Kuching (LAK) sedang dalam peringkat perancangan untuk membuka satu lagi loji rawatan air di Landeh iaitu Loji 5.
“Secara keseluruhan projek ini dijangka menelan kos RM1.6 bilion. Namun untuk fasa pertama, LAK merancang untuk membina 200 MLD terlebih dahulu,” katanya semasa melakukan lawatan kerja ke Lembaga Air Kuching, semalam.
Menurutnya lagi, usaha pembukaan loji baru tersebut adalah bagi menampung keperluan pengguna dan industri yang dijangka meningkat di kawasan selatan termasuk Bahagian Kuching dan Samarahan.