SEBUYAU, 07 NOVEMBER 2021 (SNN) : Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) telah meluluskan peruntukan kira-kira RM657 juta untuk membangunkan projek benteng air masin di seluruh kawasan berkenaan bermula dari kawasan Asajaya sehingga ke Sebuyau dan Sebangan.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika ditemui media berkata, pihak IRSDA yang diberikan amanah untuk melaksanakan projek berkenaan telah memberi taklimat berhubung pelaksanaan projek benteng air masin yang bermula dari Asajaya, Sebuyau, Gedong dan Simunjan dengan status terkini masih dalam pelaksanaan kerja-kerja menembok benteng.
“Projek pembinaan benteng air masin ini kelak secara tidak langsung akan memberikan kesan dari sudut pembangunan pertanian dan jalan di kawasan ini kerana saya difahamkan air (masin) tidak lagi masuk ke kawasan sebahagian pertanian di Sebuyau disebabkan benteng yang kini hampir siap.
“Kawasan ini akan membangun dengan cepat dengan adanya pembangunan infrastruktur yang kita bangunkan di seluruh kawasan IRSDA,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di tapak pembinaan benteng laut/air masin di Sebuyau sempena lawatan kerja Ketua Menteri ke kawasan DUN Sebuyau baru-baru ini.
Tambah beliau, projek benteng yang menelan kos RM657 juta itu dibahagikan kepada empat pakej dan sedang dalam proses pembinaan serta kesemuanya dijangka siap dalam masa 24 bulan atau dua tahun. Selain itu, dari aspek pembangunan sosio ekonomi juga akan meningkat dengan adanya skim perumahan yang dibangunkan nanti.
Abang Johari berkata beliau telah meluluskan skim perumahan di Sungai Ladong di Sebuyau yang akan memberi kemudahan kepada masyarakat yang tinggal di kawasan berkenaan malah beliau juga telah diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pembinaan jambatan Batang Lupar yang sedang rancak dilaksanakan.
Jelas beliau, kita memenjangkakan bahawa dalam masa lima tahun akan datang dengan siapnya jambatan Batang Lupar dan projek benteng ini maka pembangunan pertanian serta pelancongan di kawasan Sebuyau ini akan membangun dengan pesat ditambah lagi kedudukannya berada berhampiran laluan jalan pesisir yang menjadi jalan kedua utama di negeri ini.
Turut hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap ADUN Sebuyau; Datuk Julaihi Narawi.