SEBUYAU, 30 JUN 2024 (SNN): Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama agensi pelaksana Sarawak Energy Berhad (SEB) dan anak syarikatnya SESCO bersetuju untuk menaiktaraf infrastruktur bekalan elektrik bagi kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Simunjan, Gedong dan Sebuyau dengan kos hampir RM174.0 juta.
Menterinya Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, usaha ini dilaksanakan bagi memastikan kestabilan bekalan elektrik di semua kawasan terbabit yang kini mempunyai peningkatan permintaan bekalan elektrik selaras dengan perubahan gaya hidup yang lebih baik.
“Arus teknologi kini telah membawa kepada penggunaan tenaga elektrik yang meningkat di rumah, sekolah atau pejabat terutama dalam penggunaan peralatan elektrik seperti penghawa dingin, peti sejuk, kipas angin, rice cooker, oven, peralatan komputer dan laptop serta kemudahan elektrik lain seperti peralatan telekomunikasi dan pam penggalak air.
“Oleh demikian, kita akan melaksanakan beberapa skop kerja yang merangkumi Double circuit MVCC dari Asajaya 33/11kV Substation ke Jambatan Batang Sadong, Double submarine cable 95 mm2/3C XLPE Cu menteberangi Sungai Batang Sadong, Single circuit 33kV Covered Conductor dari Batang Sadong ke Pangkalan Feri Sebuyau, Single circuit 33kV Covered Conductor dari Jambatan Batang Sadong ke Pekan Simunjan, Single circuit 33kV Covered Conductor dari Pekan Simunjan ke GedongMenaik taraf Alatubah( transformer) dan Perkakasan Elektrik ( VT/VR ) dan Membina substation baharu di Sebuyau,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Daerah Sebuyau 2024 di Dewan Pembangunan, Sebuyau pada Sabtu.
Dalam ucapan Julahi yang juga ADUN Sebuyau itu lagi, sambutan ‘ngiling bidai’ yang disambut oleh masyarakat Dayak ini bertujuan menandakan berakhirnya perayaan Gawai Dayak dan ianya dilihat sebagai medium menyerlahkan lagi perpaduan masyarakat di Sebuyau.
Tambahnya, budaya seperti ini perlu dikekalkan dari masa ke semasa dan perlu diadakan setiap tahun sebagai satu simbolik penutupan perayaan Hari Gawai bagi masyarakat Dayak.
Tegas beliau dalam ucapannya, untuk tindakan segera pihak SEB dan SESCO dengan kerjasama pejabat daerah dan KMKK tempatan akan mengenal pasti beberapa lokasi titik panas yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Di antaranya ialah pokok yang perlu dibersihkan di sekitar talian elektrik dari semasa ke semasa serta kegiatan vandalisma merosak dan mencuri kabel elektrik juga dipantau setiap masa.