KUCHING, 14 OGOS 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak kini telah melantik pengerusi dan barisan ahli Lembaga Penjaga bagi menguruskan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak.
Memetik laporan UKAS, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Pengerusi Lembaga Penjaga dana tersebut akan diterajui oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang juga bekas Hakim di Mahkamah Persekutuan Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie.
Menurutnya, Ahli-Ahli Lembaga Penjaga lain yang dilantik ialah Pengerusi Kumpulan Limar; Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah, Pengerusi Kumpulan Syarikat Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) merangkap Pengerusi Pelaburan Hartanah Berhad; Tan Sri Ahmad Nizam Salleh, Pengarah Bebas Bank Rashid Hussein (RHB); Datuk Iain John Lo, Grainne Dooley, Penasihat Jawatankuasa Pelaburan Yayasan Amal; Mohsen Fahmi, Pengarah Permodalan Nasional Berhad; Datu Soedirman Aini, Peguam Besar Negeri Sarawak; Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid dan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak; Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar.
Jelasnya, penubuhan dana ini akan mengamalkan Prinsip dan Amalan yang Diterima Umum (GAPP) atau lebih dikenali sebagai Prinsip Santiago seperti yang diguna pakai oleh kebanyakan dana kekayaan lain di dunia.
“GAPP menyokong penuh prinsip ketelusan, akauntabiliti, struktur tadbir urus yang baik serta pelaburan yang kukuh.
“Sarawak menggunakan standard tertinggi tadbir urus dan ketelusan dalam menguruskan dana kekayaan negeri kita di samping membenarkan kita menjalin rangkaian dan berkongsi pengetahuan tentang amalan terbaik dengan dana kekayaan berdaulat global yang lain,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Bapa Malaysia pada Isnin.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menambah, kerajaan Sarawak akan memperuntuk dana awal sebanyak RM8 bilion di mana dana kekayaan tersebut seterusnya akan menerima peruntukan tahunan secara berjadual.
“Kumpulan wang ini dianggarkan berkembang secara mampan tanpa sebarang pengeluaran kecuali ketika berlaku situasi kritikal yang memaksa kita untuk mengeluarkan dana tersebut,” ujarnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa, dana tersebut akan diuruskan dengan ketat mengikut dasar pelaburan dan mandat dana dalam memastikan pertumbuhan yang seimbang dan meminimumkan risiko jangka panjang dalam aset yang dilaburkan.
“Akaun dana ini akan dibentangkan di hadapan persidagan DUN Negeri Sarawak dan belanjawan tahunannya akan diluluskan oleh Kabinet Negeri,” jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Dato Sri Talat Mahmood serta Dato Sri Dr Wan Lizozman.-UKAS