SADONG JAYA, 18 NOVEMBER 2022 (SNN): Kerajaan Sarawak komited untuk meneruskan usaha pembinaan sebanyak 7,000 menara telekomunikasi bagi memastikan liputan komunikasi dan jalur lebar diperluas ke seluruh negeri ini menjelang tahun 2030.
Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, setakat ini dianggarkan sebanyak 3,471 daripada 7,000 menara telekomunikasi sudah berjaya didirikan dan akan diteruskan secara berperingkat bagi memudahkan urusan rakyat dalam aspek secara maya.
“Sehingga ini, sebanyak 300 menara telekomunikasi telah dibina di kawasan luar bandar oleh kerajaan Sarawak.
“Pada akhir tahun ini, kerajaan Sarawak turut menyasarkan 124 daripada 300 menara dalam fasa pertama akan dapat terlaksana dan sedia memberi liputan kepada penduduk sekitarnya,” katanya ketika berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Program Sarawakku Sayang di Dataran Panggung Udara, Sadong Jaya pada Khamis.
Sementara itu beliau menegaskan, hasil daripada dasar dan pembangunan kerajaan Sarawak yang menyeluruh telah membuktikan segala keperluan rakyat ditunaikan.
“Sekiranya dasar-dasar kerajaan tidak dilakukan oleh pemimpinnya maka hari ini kita tidak dapat menyaksikan pembangunan yang pesat di Sarawak”, ujarnya.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur); Ir Aidel Lariwoo, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Residen Bahagian Samarahan; Datu Ibrahim Lumpu, calon GPS Parlimen Batang Sadong; Rodiyah Sapiee serta tetamu lain.-UKAS.