More
    Home Sarawak Kuching Kerajaan Sarawak hari ini mengikuti contoh kepimpinan Nabi Muhammad SAW dalam menjaga...

    Kerajaan Sarawak hari ini mengikuti contoh kepimpinan Nabi Muhammad SAW dalam menjaga hubungan antara agama dan berlaku adil

    KUCHING, 28 SEPTEMBER 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak memberi jaminan akan sentiasa berlaku adil dan mendapat hak yang sama rata terhadap penganut agama-agama lain di negeri ini.

    Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dipetik dari UKAS berkata, kerajaan negeri di bawah pimpinannya mengambil iktibar daripada cerminan yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W yang sentiasa berlaku adil kepada rakyat yang berbilang agama dan kaum melalui Piagam Madinah.

    “Di Sarawak, kita mempunyai masyarakat berbilang kaum dan agama. Oleh itu, Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan keadilan yang sama untuk kita membangunkan serta mengekalkan sebuah negeri yang aman dan makmur.

    “Inilah satu-satu sifat yang ada pada rakyat Sarawak yang penuh bertoleransi dalam kita membangunkan negeri ini,” katanya ketika berucap dalam Sambutan Maulidur Rasul 1445H/ 2023M Peringkat Sarawak di Padang Merdeka di sini pada Khamis.

    Cuaca hujan tidak menghalang para peserta hadir memeriahkan dan meraikan sambutan Maulid Nabi SAW yang diringi dengan selawat ke atas junjungan Nabi SAW.-foto UKAS

    Tambahnya, Kerajaan Sarawak turut mengambil contoh melalui perjanjian Rasulullah S.A.W dengan para rahib di biara St Catherine dikaki Bukit Sinai pada tahun 627M yang mencerminkan kemuliaan sifat Rasulullah S.A.W dalam menjaga hubungan antara agama.

    Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut berharap agar orang ramai sentiasa mendoakan Sarawak untuk menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

    “Sarawak akan sentiasa membangun untuk menjadi sebuah negeri contoh kepada rakan-rakan kita di seluruh Malaysia,” ujarnya.

    Pada majlis tersebut, Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib turut hadir menyerikan lagi sambutan Maulidur Rasul yang penting untuk umat Islam di seluruh negara.

    Untuk rekod, majlis Sambutan Maulidur Rasul kali ini dihadiri lebih 10,000 peserta dari pelbagai agensi yang sama-sama berselawat dan meraikan hari kebesaran kelahiran Nabi Muhammad SAW setiap 12 Rabiul Awal dalam Takwim Hijrah.

    Turut hadir, isteri Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak; Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar serta isteri Puan Sri Dato Fatimah Mohd Iskandar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Dif-Dif Kenamaan, Ketua-Ketua Jabatan serta Ketua-Ketua Masyarakat dan Ketua-Ketua Kaum.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    PETROS kekal sebagai aggregator tunggal sah di Sarawak-Julaihi

    0
    KUCHING, 14 NOVEMBER 2024: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) terus mengukuhkan peranannya sebagai agregator gas tunggal di Sarawak dengan menandatangani beberapa Perjanjian Jualan Gas (GSA)...