KUALA LUMPUR, 19 JULAI 2024: Kerajaan Sarawak memberi tumpuan kepada pembangunan sumber tenaga boleh diperbaharui dan menolak sebarang kemungkinan untuk menerokai sektor loji janakuasa nuklear untuk menjana tenaga elektrik di negeri itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ketika dunia menyahut seruan penggunaan sumber tenaga mampan dan kurang karbon, tenaga boleh diperbaharui telah muncul sebagai salah satu sumber penjanaan tenaga yang paling cepat berkembang.
Menurut beliau, terdapat peluang besar bagi para pelabur untuk menjalinkan kerjasama dengan Sarawak dan mengembangkan sektor penjanaan tenaga bersih kerana semua aktiviti ekonomi baharu akan bergantung kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Tidak, kenapa kita perlu ada reaktor nuklear? Kita ada tenaga hidro (bagi menjana elektrik), tetapi jika sektor biomas…ya.
“Kekuatan yang pada Sarawak ialah dari sektor tenaga boleh diperbaharui kerana ekonomi dunia sudah beralih ke arah ekonomi yang hijau yang memerlukan tenaga boleh diperbaharui disebabkan oleh perubahan iklim,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Siri Pelaburan MIDA ‘Sarawak Unfolding Its Business Potentials’ di MIDA Sentral pada Rabu.
Premier Sarawak menambah, menerusi kekuatan sumber hidrogen yang dijana dengan lebih kompetitif, Sarawak dan Malaysia amnya boleh pemain utama dalam industri hidrogen dunia.
Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, dalam jangka panjang, penggunaan tenaga boleh diperbaharui bukan sahaja akan membantu mengekalkan alam sekitar yang bersih dan lestari, tetapi juga akan membawa manfaat ekonomi yang besar kepada Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.
Jelasnya, selain memberikan manfaat untuk alam sekitar dan mengurangkan kesan negatif terhadap perubahan iklim, penggunaan tenaga boleh diperbaharui juga memberikan manfaat ekonomi hijau yang besar.
“Seiring dengan keperluan Sarawak yang semakin pesat membangun, kadar permintaan terhadap sumber tenaga juga pastinya akan meningkat.
“Perkembangan dari segi permintaan terhadap sumber tenaga elektrik dijangka lebih signifikan bagi menampung pelbagai keperluan perindustrian, domestik, malah juga logistik,” ujarnya.
Turut hadir samaTimbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Sarawak; Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); Tan Sri Dato Seri Dr Sulaiman Mahbob dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA; Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid-UKAS