SEBUYAU, 06 APRIL 2021 (SNN) : Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa komited mengutamakan agenda membawa pembangunan rakyat terutama di kawasan luar bandar agar dapat mengurangi jurang diantara bandar dengan luar bandar.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkata, sejak dahulu lagi telah banyak kemajuan yang dibawa secara berperingkat dan terus-menerus kepada rakyat di seluruh negeri ini termasuklah kawasan kuar bandar.
“Sebagai contohnya, di kawasan DUN Sebuyau ini telah banyak perubahan dan pembangunan yang dibawa masuk untuk keselesaan rakyat dan usaha ini akan tetap diteruskan bagi memastikan kawasan-kawasan luar bandar mendapat akses kemudahan yang serba lengkap sepertimana dengan kawasan bandar.
“Oleh itu, janganlah kita mencuba untuk memberi peluang kepada orang luar untuk menentukan kawasan kita ini dan harus diingatkan bahawa kerajaan negeri sekarang ini sentiasa mengutamakan agenda pembangunan khususnya jalan raya di kawasan luar bandar secara berperingkat agar kemudahan lain dapat diusahakan juga,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) Peringkat Ranting Kampung Sampat, Sebangan semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau dan juga Naib Yang Di Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merangkap Ketua Cawangan PBB Sebuyau menyeru agar masyarakat terutama di kawasan Sehuyau ini untuk terus memberi sokongan kepada kerajaan GPS agar dapat membawa lebih banyak lagi pembangunan di kawasan itu dan seluruh negeri amnya.