KUCHING, 20 FEBRUARI 2022 (SNN) : Penjawat awam tidak seharusnya menjadikan amalan norma baharu sebagai alasan untuk tidak memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat dan rakan pelaburan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, beliau berpuas hati dengan pencapaian MINTRED pada tahun 2020 dan 2021 yang telah berjaya menarik pelaburan bagi tempoh dua tahun ini.
“Sebagai contoh, pada tahun 2020 Sarawak telah berjaya menduduki tempat ke-2 sebagai pilihan utama destinasi pelaburan di antara negeri-negeri di Malaysia dengan jumlah pelaburan sebanyak RM16 bilion dalam sektor perkilangan. Manakala bagi tahun 2021, Sarawak berjaya menarik pelaburan dengan nilai sebanyak RM7.1 bilion.
“Tanpa komitmen dan kerjasama semua pihak sukar untuk kita mencapai kejayaan ini,” katanya semasa berucap dalam Majlis Apresiasi MINTRED 2021 di Hotel Waterfront Kuching pada Jumaat.
Sepanjang tahun 2020 dan 2021, MINTRED telah bekerja keras membantu pemain industri dan usahawan antaranya menyelaras 14 Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) termasuk di Sama Jaya Hi-Tech Park dan Samalaju, bantuan kewangan kepada 4,278 usahawan melalui program SPIKS, Sarawak Micro Credit Scheme (SKMS), GERAK, USTEV dan subsidi faedah bagi SRF, TRRF dan PTF, menyediakan platform online iaitu Facebook Bazaar Rakyat Online Sarawakku Sayang (BROSS) yang mencatat jualan RM100 juta dan melaksanakan program turun padang.
Mengulas mengenai projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak mahu semua pegawai memberikan komitmen dan kerjasama yang padu bagi memastikan projek yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya.
“MINTRED akan melaksanakan 45 projek pembangunan di seluruh Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM228.2 juta.
“Setakat ini, sebanyak 12 buah projek sedang dalam peringkat pembinaan manakala yang lain-lain dalam pelbagai peringkat pelaksanaan seperti pertapakan, pelantikan juruperunding dan rekabentuk,” ujarnya.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Dr Malcom @ Malcokm Mussen Lamoh, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedung Datuk Mohamad Naroden Majais dan Pemangku Setiausaha Tetap MINTRED Dzulkornain Masron.-UKAS.