KUALA LUMPUR: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi telah menyampaikan amanat khas berkaitan hala tuju transformasi digital Sarawak dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi Digital 2023 sempena Ekspo Negara Pintar 2023 di MITEC, Kuala Lumpur pada Selasa.
Antara topik yang disampaikan oleh beliau termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, landskap digital global, hala tuju ekonomi digital Sarawak, infrastruktur dan ketersambungan digital, inovasi dan keusahawanan, kesediaan digital dan keselamatan siber.
Dalam pada itu, Datuk Julaihi memberitahu, Sarawak terus mengorak langkah menjadi kuasa utama serantau dalam ekonomi digital menerusi Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030.
Jelasnya, pelan tindakan tersebut akan menjadi asas untuk memacu PCDS 2030 dan bertindak sebagai pemangkin bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti setiap sektor ekonomi serta meningkatkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
“Pelan tindakan ini (merangka langkah bagi menjadikan) Sarawak sebagai kuasa ekonomi digital yang utama di rantau ini untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang inklusif, bertanggungjawab dan mampan.
“Kerajaan Sarawak bercita-cita tinggi dengan berhasrat untuk menjadi peneraju ekonomi dan masyarakat digital menjelang 2030. Ini melibatkan perkongsian strategik antara kerajaan, perniagaan dan masyarakat di mana kerajaan memainkan peranan penting dalam menyediakan rangka kerja perundangan dan sosial,” katanya.
Sementara itu, Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 bakal dilancarkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak 2023 (WCIT-IDECS 2023) di Kuching pada 4 Oktober depan.
Hadir sama, kedua-dua Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Datuk Liwan Lagang dan Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Jafri Lias.-UKAS