LUNDU, 16 NOVEMBER 2023: Kerajaan Sarawak akan terus berusaha untuk mengukur Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) secara menyeluruh melibatkan semua kaum Bumiputera di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sekiranya terdapat bukti yang sahih berdasarkan undang-undang, kerajaan akan bantu rakyat untuk mengukur tanah tersebut secara percuma.
“Saya telah memberitahu Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) untuk mengukur NCR secara menyeluruh dan tidak hanya menumpukan kepada sesuatu kaum sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri Dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri Bagi Daerah Lundu dan Sematan di Dewan Masyarakat Lundu pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II menambah, kerja-kerja penyukatan dibuat berdasarkan permohonan dan bukan secara sembarangan.
“Pihak JTS akan mengadakan dialog terlebih dahulu sebelum melakukan kerja-kerja penyukatan dan difahamkan Warta Rizab Komunal Bumiputera bagi Seksyen 6 tersebut melibatkan kaum Melayu dari Kampung Sampadi, Sungai Langgir & Selenggok yang berkeluasan 221.81 hektar,” katanya.
Manakala untuk Surat Hakmilik Tanah di bawah Seksyen 18 pula, sebanyak 466 surat hakmilik telah diserahkan kepada 377 penerima merangkumi kaum Iban, Bidayuh dan Selako dari tiga kampung termasuk Kampung Siru Dayak, Kampung Gerungganh serta Kampung Bengang dan Batu.
Turut hadir sama, ADUN Tanjong Datu; Azizul Annuar Adenan, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak; Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Bahagian Pembangunan Sosioekonomi Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri; Zamrud Yahya, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak; Dato Sri Mohd Naroden Majais, Residen Bahagian Kuching; Norleha Shariff dan Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching; Alfian Bawi.-UKAS