KUCHING, 01 JANUARI 2024: Kerajaan Sarawak berikrar akan terus komited memberikan tumpuan kepada sistem pendidikan untuk mengetahui tahap pendidikan anak-anak negeri ini dan meningkatkan kualiti pendidikan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak akan melaksanakan sistem pendidikannya sendiri bagi menentukan tahap penerimaan pendidikan anak-anak di Sarawak.
“Untuk menjadi negeri termaju menjelang 2030, anak Sarawak harus mempunyai ilmu yang cukup, sebab itu kita akan melaksanakan sistem pendidikan kita sendiri di atas persetujuan kerajaan Persekutuan setelah kita cadangkan tempoh hari.
“Saya dan rakan-rakan dalam kabinet ada matlamat iaitu pada 2026, semua anak Sarawak akan belajar secara percuma di peringkat universiti. Mereka tidak perlu lagi membayar yuran kerana kerajaan akan tanggung.
“Kita dapat berbuat sedemikian kerana saya yakin unjuran ekonomi kita pada ketika itu akan lebih mantap,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ambang Tahun Baru 2024 dan Majlis Perasmian Tiang Bendera Gergasi di Tebingan Sungai Kuching pada malam Ahad.
Dalam program tersebut, Datuk Patinggi Abang Zohari turut merasmikan tiang bendera gergasi yang diberi nama Ibu Pertiwi.
“Malam ini saya nak mengumumkan nama tiang bendera kita iaitu Ibu Pertiwi dan kawasan kompleksnya saya namakan Dataran Ibu Pertiwi. Kita perlu menjaga Ibu Pertiwi, Ibu Pertiwi membawa kedaulatan kepada Sarawak dan saya jamin Ibu Pertiwi juga memberi bayangan kehebatan negeri Sarawak.
“Ia melambangkan perpaduan kita dan semua anak Sarawak harus bertekad mempertahankan Ibu Pertiwi,” katanya.
Turut hadir sama isteri Premier Sarawak; Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta isteri, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerja Raya Malaysia; Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan); Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta dif-dif kenamaan yang lain.-UKAS