More
    Home Malaysia Kerajaan Sarawak akan menambahbaik infrastruktur dan sistem bekalan air di Sarikei

    Kerajaan Sarawak akan menambahbaik infrastruktur dan sistem bekalan air di Sarikei

    SARIKEI, 15 JUN 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bersama pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) sebagai agensi pelaksana amat komited untuk memastikan infrastruktur dan sistem bekalan air di Bahagian Sarikei ditambahbaik sekaligus menyelesaikan isu bekalan air di beberapa kawasan di bahagian berkenaan.

    Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi, setakat ini, komitmen tinggi ini dizahirkan dengan pelaksanaan 55 projek bekalan air yang menelan belanja sebanyak RM535 juta yang mana 43 projek bernilai RM96 juta telah siap dilaksanakan dan telah berjaya menangani isu bekalan air di beberapa kawasan di Bahagian Sarikei.

    Manakala sembilan projek bernilai sekitar RM234 juta kini masih dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2024.

    “Di Bahagian Sarikei kita sekarang mempunyai 55 projek bekalan air yang diluluskan dengan nilai RM535 Juta, di mana 43 daripada projek tersebut dengan nilai RM96 Juta telahpun siap.

    “Yang saya nak tekankan di sini ialah kebanyakan daripada hampir semua projek ini merupakan projek yang dilaksanakan menggunakan peruntukan Negeri Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Bayong, Sarikei pada Selasa.

    Datuk Julaihi membuat tinjauan di loji rawatan air Bayong.-Foto Datuk Julaihi

    Tambah Datuk Julaihi lagi, terdapat tiga projek bernilai sekitar RM204 juta kini berada dalam peringkat perancangan di mana salah satu projek iaitu Projek Julau Fasa 2 dijangka tender pada suku pertama tahun 2024 manakala dua lagi projek masih dalam peringkat proses pelantikan perunding.

    “Ini menunjukkan berapa perihatinnya kerajaan GPS di bawah pimpinan YAB Premier menggunakan peruntukan Sarawak untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Bahagian Sarikei.

    “Sebenarnya kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM4 billion untuk menjalankan pelbagai jenis projek bekalan air di seluruh Sarawak,” jelas beliau.

    Tambahnya lagi, sebanyak 11 projek bekalan air bernilai sekitar RM881 juta telah dimasukkan di bawah senarai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) untuk kelulusan daripada pihak kerajaan termasuk Projek Bekalan Air Julau di bawah peruntukan Kerajaan Sarawak.

    Skop kerja bagi projek-projek ini katanya merangkumi pemasangan saluran paip baharu, pembinaan tangki aras tinggi, pembinaan stesen pam penggalak, kerja-kerja menaiktaraf loji rawatan air dan pembinaan muka sauk air mentah.

    Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Sarikei, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan.

    Dalam pada itu, Datuk Julaihi turut menegaskan supaya kerajaan pusat juga melihat hak untuk memberi peruntukan yang mencukupi untuk sama-sama menyelesaikan masalah air di Sarawak.

    “Projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh,” ujarnya.

    Hadir sama pada lawatan kerja tersebut ialah Timbalan Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak (Telekomunikasi); Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS) merangkap ADUN Semop; Datuk Abdullah Saidol, ADUN Meradong; Datuk Ding Kuong Hiing, ADUN Pakan; Tan Sri William Mawan Ikom, Pengarah JBALB Sarawak; Ir. Chang Kuet Shian, Timbalan Residen Bahagian Sarikei; Badjuri Bidin, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Bantuan BKAS disalurkan dalam bentuk kredit melalui Spay Global-Abang Jo

    0
    KUCHING, 12 DISEMBER 2024: Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan disalurkan dalam bentuk kredit aplikasi Spay Global (sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay)...