More
    Home Malaysia Kerajaan Persekutuan beri kebenaran kepada Sarawak bagi meneruskan Projek Kabel Elektrik Dasar...

    Kerajaan Persekutuan beri kebenaran kepada Sarawak bagi meneruskan Projek Kabel Elektrik Dasar Laut

    INDONESIA, 31 OKTOBER 2023 (SNN): Kerajaan Persekutuan sudah memberi kebenaran kepada Kerajaan Sarawak untuk meneruskan perbincangan dengan kerajaan Singapura mengenai pelaksanaan Projek Kabel Dasar Laut dari Tondong, Sarawak ke negara republik merentasi laut sempadan Indonesia.

    Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek tersebut secara prinsipnya telah diputuskan yang mana nanti akan melalui negara Indonesia dan akan membolehkan Sarawak mengeksport bekalan elektrik sehingga 1,000 megawatt (MW) elektrik ke Singapura.

    “Sukacita saya nyatakan di sini bahawa projek untuk kita membekalkan tenaga elekrik ke Singapura sehingga 1,000 MW sekarang boleh dimulakan kajian terutama sekali untuk kita mewujudkan projek kabel elektrik dasar laut dari Tondong di Sarawak ke Singapura.

    “Jadi kita sudah mendapat keputusan di mana kerajaan Persekutuan telah memberi ‘lampu hijau’ untuk kita berbincang mengenai pelaksanaan projek dan secara prinsipnya telah diputuskan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan Mesyuarat Bilateral bersama Presiden Persatuan Tenaga Hidro Antarabangsa (IHA), Malcolm Turnbull sempena Kongres Tenaga Hidro Dunia 2023 di Bali Nusa Dua Convention Center pada Selasa.

    Bercakap mengenai pertemuannya dengan Malcolm Turnbull, Premier Sarawak menyatakan beliau telah berkongsi mengenai kelebihan negeri ini yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui yang besar khususnya dalam penjanaan tenaga elektrik.

    Jelasnya, penjanaan tenaga elektrik menerusi pembinaan empangan hidroelektrik dapat dilaksanakan secara lestari kerana Sarawak mempunyai banyak sungai dan jumlah taburan hujan yang tinggi.

    Ujarnya, sungai boleh dikaji sebagai alternatif kepada sumber takungan (‘reservoir’) untuk penjanaan tenaga hidro.

    “Sebenarnya pihak SEB sudah ada satu project di Lawas yang menggunakan sistem yang sama untuk mengeluarkan (tenaga) hidro, tetapi kita nak meningkatkannya agar pengeluaran hidro kita memiliki potensi mengikut laporan kajian Snowy Mountains dulu yang mana potensi pengeluarannya adalah lebih kurang 20,000 MW yang mana kita baru mengeluarkan lebih kurang 7,000 MW.

    “Jadi saya telah minta pihak SEB untuk mengkaji semula, kerana mungkin ketika itu input tersebut masih belum dikemaskini. Jadi pada masa ini, kita mensasarkan janaan sebanyak 20,000 MW dahulu dengan menggunakan kaedah yang ada,” katanya lagi.

    Turut hadir sama deligasi adalah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC); Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Husain dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad; Datuk Sharbini Suhaili.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Muhammad Nazmi, Guru dari Sarawak Tersenarai 10 Finalis Anugerah Guru Global...

    0
    KUCHING, 31 JANUARI 2025 (SNN): Terkenal dengan pendekatan pengajaran dalam bilik darjah yang inovatif dan pelbagai inisiatif pacu pembangunan komuniti, seorang pendidik dari Sarawak,...