SPAOH, 22 JULAI 2022 (SNN): Golongan ibu bapa di luar bandar diingatkan agar tidak menafikan anak-anak mereka yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi kerana alasan kekangan kewangan.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Yayasan Sarawak kini menawarkan biasiswa dan pinjaman untuk membolehkan pelajar melanjutkan pengajian di insititusi pengajian tinggi.
Selain itu katanya, badan-badan korporat seperti Petronas, Shell, MARA mahupun PTPTN juga turut menyediakan biasiswa dan pinjaman untuk tujuan pendidikan.
Jelas Datuk Amar Douglas, malah beliau dan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat juga akan menubuhkan dana pendidikan untuk membantu pelajar yang memerlukan melanjutkan pengajian mereka.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pendidikan Komunti Bukit Saban (BS-CEP) 2022-2030 bertempat di Dewan Masyarakat Spaoh pada Rabu.
Menteri Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan itu menambah, masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban kini mempunyai program kecemerlangan pendidikan tersendiri bertujuan untuk melahirkan lebih ramai graduan.
Menjelas lanjut, Datuk Amar Douglas memberitahu beliau dan Datuk Robert Lawson amat menyokong penganjuran program itu yang bertujuan membantu pelajar luar bandar menguasai bahasa Inggeris.
Sementara itu, Pengarah Maktab Perguruan Rajang Dr. Abang Ismail Abang Julhi dalam ucapan aluannya memberitahu sudah tiba masanya untuk Betong mempunyai kolej matrikulasi.
Katanya, dengan memiliki kolej seumpama itu di Betong akan membantu melahirkan lebih ramai graduan dan profesional di masa akan datang.
Tambah beliau, Program Pendidikan Komuniti Bukit Saban akan menganjurkan aktiviti melibatkan kanak-kanak pra sekolah dan mereka yang berada di kelas atasan serta memberi penekanan khusus kepada penguasaan bahasa Inggeris bagi membantu pelajar menghadapi dunia luar yang lebih mencabar.
Hadir sama Setiausaha Politik Premier Sarawak Dr. Richard Rapu.-UKAS.