More
    Home Sarawak Kuching Kerajaan GPS komited tuntut semula hak Sarawak yang terhakis dalam MA63

    Kerajaan GPS komited tuntut semula hak Sarawak yang terhakis dalam MA63

    KUCHING, 25 DISEMBER 2022 (SNN): Kepentingan dan hak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mengatasi segala kepentingan lain dalam perjuangan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata platform politik yang bebas melalui pembentukan GPS adalah langkah yang sebaik-baiknya untuk memastikan suara rakyat Sarawak terus kedengaran di persada nasional.

    Beliau berkata, sokongan padu rakyat kepada GPS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dibalas dan diterjemahkan menerusi usaha untuk menuntut hak yang sudah terhakis.

    “Sebagai ketua kerajaan GPS, saya sekali lagi ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada rakyat Sarawak yang memberi kepercayaan kepada GPS untuk terus menggalas tanggungjawab menjaga kepentingan wilayah ini.

    “Bagi kerajaan GPS, yang lebih penting mengatasi segala yang lain ialah kepentingan dan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63,” katanya dalam ucapan perutusan sempena perayaan Hari Krismas, di sini, semalam.

    Abang Johari berkata, kerajaan GPS sentiasa menyokong Kerajaan Perpaduan seperti yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kerana ia amat penting dalam usaha untuk memastikan kestabilan pentadbiran negara.

    Katanya, dengan pendirian itu Sarawak diberi tanggungjawab yang besar untuk memastikan pentadbiran negara berjalan dengan lancar untuk tempoh lima tahun lagi.

    “Amanah yang diberikan kepada GPS itu adalah menerusi pelantikan seorang Timbalan Perdana Menteri dan empat menteri penuh dari Sarawak dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan,” katanya.

    Mengenai sambutan Krismas, Abang johari berkata, Sarawak unik kerana penganut agama lain turut berkongsi kegembiraan dengan rakan penganut Kristian.

    “Inilah Sarawak yang memang dikenali dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama, namun tidak menghadapi masalah untuk bersatu dalam kepelbagaian.

    “Di Sarawak, kita mendapati keluarga Kristian dan orang Islam boleh hidup di bawah satu bumbung. Di Sarawak juga gereja dan masjid tidak menghadapi masalah dengan kedudukan bersebelahan dan saling membantu bagaikan sebuah keluarga,” katanya.

    Katanya, rakyat Sarawak bertuah kerana terlindung daripada persengketaan agama dan kaum.

    “Kuasa autonomi Imigresen kita mampu menyekat pelampau agama untuk memasuki Sarawak.

    “Bagaimanapun, Sarawak tidak kalis sepenuhnya daripada unsu ekstremis yang datang ke Sarawak melalui saluran siber seperti media sosial yang biasanya untuk kepentingan politik pihak tertentu,” katanya.

    Sehubungan itu katanya, kebijaksanaan untuk menapis yang baik dan yang buruk serta membezakan fakta dan auta menjadi benteng ampuh rakyat Sarawak dalam menghadapi anasir yang mahu memecah-belahkan perpaduan .

    “Saya memberi jaminan bahawa kerajaan GPS akan sentiasa memelihara kebebasan beragama di negeri ini,”tegasnya.-UKAS.

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    Kerajaan Sarawak akan melaksanakan Projek Rural High Speed Broadband di Sebuyau

    0
    SEBUYAU, 27 JANUARI 2025 (SNN): Seramai 122 orang kanak-kanak telah mengambil bahagian dalam program berkhatan beramai-ramai anjuran Parlimen 201 Batang Lupar dan N27 Sebuyau...