KUCHING, 19 JUN 2022 (SNN): Pelaksanaan undi 18 tahun tidak akan menjejaskan populariti dan peluang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 nanti.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, peraturan baru itu tidak menggentarkan PBB kerana percaya golongan belia akan memihak kepada parti keramat itu.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan penubuhan pergerakan belia PBB untuk mereka yang berusia 18 hingga 28 tahun.
“Kita ‘welcomed’ 18-28, kita hendakkan 18-28 bersama dengan kita. PBB memang berkehendakkan mereka. Hari ini, PBB menyediakan masa depan untuk mereka. Kita tubuhkan dana berdaulat untuk mereka. Ini untuk masa depan mereka. Biar kita bekerja hari ini untuk mereka.
“Kerana itu kita tidak gentar apabila mereka menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun…kerana kita tahu mereka yang berumur 18 tahun bersama dengan kita kerana kita mengambil berat terhadap mereka,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung PBB Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.
Dalam memastikan visi menjadikan Sarawak wilayah termaju pada 2030, Premier Sarawak menggesa anak-anak negeri ini mendapatkan ilmu yang terkini.
Dalam hal ini, beliau yang juga Yang DiPertua PBB Sarawak berikrar akan menyediakan pendidikan secara percuma kepada anak-anak Sarawak menggunakan sumber dari dana kekayaan berdaulat.
“Sudah menjadi niat saya, kalau kita ada ‘surplus fund’, kita labur menerusi dana berdaulat. Kalau pulangannya banyak, kita berikan pendidikan, kalau boleh free kepada anak Sarawak,” tambahnya.
Terdahulu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari juga mengingatkan ahli-ahli PBB untuk bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
Beliau juga mahu ahli-ahli PBB tidak leka dengan kemenangan 47 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas dan meningkatkan usaha untuk memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyapu bersih 31 kerusi pada PRU nanti.
“Jangan terlalu sombong dengan kemenangan tapi mesti kerja kuat secara humble. Kita menang 76 daripada 82 (kerusi) menerusi GPS dengan rakan kita.
“Saya yakin kita bekerjasama bersatu hati, bersatu tenaga untuk menyapu bersih 31 kerusi pada PRU akan datang,” katanya lagi.
Turut hadir sama Timbalan Yang di Pertua PBB merangkap Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di Pertua Kanan; Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Dato Sri Fadillah Yusof, Naib Yang di Pertua; Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapaee, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak; Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pemuda PBB Sarawak; Miro Simuh, Pengerusi Tetap; Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Setiausaha PBB Sarawak; Datuk Alexander Nanta Linggi.-UKAS.