KUCHING, 03 DISEMBER 2022 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berharap kabinet baharu Kerajaan Perpaduan akan benar-benar melihat kepada intipati perpaduan terutama dari aspek keperluan pembangunan khususnya di Sabah dan Sarawak serta Malaysia amnya.
Menurut beliau, Sarawak masih memerlukan banyak kemudahan dalam pelbagai bidang khususnya dalam aspek ketersambungan fizikal seperti jalan raya bagi membolehkan seluruh negeri ini termasuk di kawasan luar bandar dapat dihubungi.
“Wakil kita (Dato Sri Alexander) yang kini memegang portfolio Kementerian Kerja Raya (KKR), jadi saya berharap lebih banyak peruntukan dapat dipertimbangkan untuk Sarawak bagi membolehkan ketersambungan fizikal dapat diperluaskan di seluruh Sarawak supaya negeri ini dapat dihubungi secara keseluruhannya.
“Selain itu, saya juga berharap Kerajaan Perpaduan ini melihat ketersambungan internet di seluruh Sarawak. Justeru, saya berharap kerajaan Persekutuan lebih-lebih lagi menteri yang bertanggungjawab akan mempertimbangkan hak spectrum kepada Sarawak supaya kita dapat mengurus dan membuat pelan kita sendiri untuk membolehan Sarawak mencapai liputan menyeluruh Internet pada masa terdekat,” ujarnya.
Tambahnya lagi, peruntukan lain juga diperlukan bagi membolehkan Sarawak melangkah lebih jauh lagi dalam bidang yang dirancangkan selaras dengan keperluan digariskan oleh kerajaan negeri dalam Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Kita perlukan lebih banyak peruntukan dan tidak boleh mengharapkan peruntukan besar dari Sarawak sahaja. Lebih-lebih lagi dari segi keperluan utiliti dan telekomunikasi.
“Peruntukan yang lebih banyak amat penting bagi membolehkan pelaksanaan grid sistem kita di Sarawak dilaksanakan lebih mampan supaya seluruh negeri ini mendapat bekalan air yang lebih menyeluruh,” katanya lagi.
Menjelas lanjut, beliau berkata pelantikan lima menteri penuh dari Sarawak sebagai perkembangan yang amat baik dan berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik untuk rakyat Sarawak.
Namun apa yang lebih mustahak katanya, kelima-lima menteri penuh dari Sarawak diberikan kuasa untuk melaksanakan tugas masing-masing lebih-lebih lagi dalam memastikan tuntutan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan yang baharu ini.
Beliau juga melihat keseimbangan dalam barisan kabinet baharu yang dibentuk itu dan amat bertepatan dengan tema Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pengumuman barisan kabinet oleh Perdana Menteri pada Jumaat, seramai lima Ahli Parlimen dari Sarawak dilantik sebagai menteri penuh iaitu Dato Sri Fadillah Yusof (Menteri Perladangan Dan Komoditi), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya), Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat), Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).-UKAS.